Kategori

Isi Kandungan

Followers

Promosi Blog Anda

Daftarkan Blog Anda Disini...Percuma

Istighfar (Mohon Keampunan)

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Thursday, September 30, 2010


APABILA fikiran terganggu atau jiwa tidak tenteram, maka jangan lupa menyebut astaghfirullah'azim.

Begitu juga jika ditimpa penyakit, kehidupan berasa sempit, khuatir menjadi lemah dan inginkan kekuatan dan apabila melakukan kesalahan, maka segeralah beristighfar.
Sesungguhnya beristighfar itu adalah kunci rahmat Allah. Tujuan dan fadilatnya amat besar. Hakikat dan ganjarannya tidak terkira.

Mengapa kita beristighfar?
Kita adalah hamba-Nya yang tidak sunyi daripada kesilapan. Kita berusaha sedaya upaya untuk mengerjakan kebaikan tetapi tersilap juga. Yang demikian, kita beristighfar sebagai cara mengiktiraf diri, sebagai makhluk yang dijadikan-Nya dan hidup semata-mata untuk menyembah-Nya. Kita beristighfar semoga sentiasa beroleh niat baik-Nya. Jika kita telah mengerjakan kebaikan, maka kita akan diberi pahala. Tetapi apabila kita melakukan kesalahan, kita hendaklah segera memohon keampunan-Nya.


Ini adalah satu pengiktirafan bahawa sesungguhnya sifat sempurna itu adalah milik Allah semata-mata. Kita beristighfar kepada Allah kerana Dialah Yang Maha Besar dan Berkuasa atas segala-galanya. Malah, kita sentiasa berhajat kepada-Nya.

Bilakah masanya kita beristighfar?
Kita harus beristighfar pada setiap hari, setiap langkah setelah kita melangkah, setiap pandangan setelah kita memandang, malah setiap saat. Kita diseru beristighfar kerana padanya terdapat penghuraian bagi semua masalah yang kita hadapi. Allah berfirman yang maksudnya: Maka Aku katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun; nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.-Surah Nuh: 10-12

Beristighfar juga memberikan kekuatan kepada sesuatu umat: Dan (Dia berkata): Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.-Surah Hud: 52

Kesimpulannya ialah beristighfar merupakan huraian bagi pelbagai masalah manusia daripada ekonomi membawa kepada kesihatan. Rasulullah saw telah menggesa umatnya agar terus beristighfar. Baginda menegaskan bahawa beristighfar adalah satu cara untuk keluar daripada kesempitan, bebas dari segala keraguan dan pembuka jalan untuk mendapatkan rezeki.

Sabda baginda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang membiasakan beristighfar, maka Allah akan tunjukkan baginya satu jalan keluar dan pada setiap keraguan itu pula satu jalan untuk menenteramkan jiwa dan Dia mencurahkan rezeki dengan tidak terkira." Rasulullah saw telah mengajar kita betapa perlunya seseorang itu beristighfar, merayu serta memohon taubat daripada Allah sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah 100 kali dalam sehari."

Ibnu Umar ra juga telah berkata bahawa "kami pernah mengira Rasulullah saw beristighfar sebanyak 100 kali dalam satu majlis yang maksudnya: "Ya Tuhanku, ampunilah daku. Sesungguhnya Engkaulah Penerima Taubat dan Amat Penyayang."

Sesungguhnya jika kita beristighfar 100 kali dalam sehari pun masih belum mencukupi.
Kita harus memohon ampun daripada-Nya setakat yang terdaya dengan memuji dan bersyukur atas ni'mat yang tidak terputus kepada Hamba-Nya. Justeru itu, beristighfar adalah satu jaminan bagi seorang Muslim itu untuk masuk ke syurga kerana Allah akan mengampuni dosa hamba-Nya yang memohon taubat. Rasulullah saw telah memberitahu kita bahawa sesungguhnya seorang hamba itu apabila telah melakukan maksiat dan kemudian bertaubat kepada-Nya, nescaya Allah tidak akan menulis segala kesalahannya itu dalam sijil golongan orang-orang yang berdosa. Maka gugurlah segala hukumannya itu. Perlu diingatkan bahawa janganlah seseorang itu berputus asa daripada rahmatAllah, walau apa jua pun dosa dan kesalahan yang dilakukannya.

Sesungguhnya rahmat Allah itu luas. Allah berfirman dalam Quran yang bermaksud: Katakanlah: Hai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Az-Zumar: 53).

Print

1 Responses to Istighfar (Mohon Keampunan)

  1. rizal Says:
  2. salam syed.. aku copy artikel ni...

     

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Sekapur Sirih


Salam...Selamat Datang Ke Blog Sagasama ...Ini Merupakan Sambungan Daripada Blog Yang Lama ( blogsagasama.blogspot.com ) Kerana Blog Yang Lama Sudah Terdelete Secara Tidak Sengaja...Semoga Sahabat Sekelian Mendapat Manfaat Dari Blog Ini...

Email dan YM Admin : sagasue@yahoo.com

ADMIN : TIDAK ON LINE





free counter