Kategori

Isi Kandungan

Followers

Promosi Blog Anda

Daftarkan Blog Anda Disini...Percuma

Dusta dan Fitnah - Racun Perosak Dalam Masyarakat

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Tuesday, November 24, 2009


Islam adalah agama wahyu yang benar dan diakui oleh Allah s.w.t. Allah melantik Nabi Muhamad s.a.w. sebagai rasul untuk menjadi utusan menyampaikan arahan dan larangan-Nya. Maka Rasulullah s.a.w. dibimbing dengan panduan wahyu Ilahi.

Justeru, peranan pengutusan rasul ini tidak akan dapat dihayati jika kita tidak menjadikan baginda sebagai ikutan dan teladan sepanjang zaman. Di antara misi pengutusan baginda ialah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Hal ini diakui sendiri oleh baginda melalui sabdanya: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik. (Riwayat Imam Malik, al-Muwatta - Kitab Husn al-Khuluq)

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan bahawa akhlak yang baik ini menjadi tanda kesempurnaan iman. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w.: Seseorang mukmin yang sempurna imannya adalah mereka yang baik akhlaknya. (Riwayat Abu Daud, Kitab Sunnah (4683), at-Tirmizi - Hadis Hasan Sahih)

Akhlak mulia lagi terpuji inilah yang menjadi pakaian Rasulullah s.a.w. yang perlu dicontohi oleh umat manusia. Arahan ini terkandung di dalam pernyataan Allah s.w.t. melalui firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. (Al-Ahzab: 21). Rasulullah s.a.w. dengan sifat amanah dan tablighnya, tidak membiarkan para sahabatnya terumbang ambing tanpa panduan. Baginda mendidik para sahabat dengan wahyu Allah; menyampaikan suruhan serta menyatakan larangan-Nya. Perlu difahami bahawa suruhan dan larangan tersebut bukan ditujukan untuk para sahabat sahaja, malah untuk seluruh umat baginda.

Di antara larangan dan tegahan yang dinyatakan oleh Rasulullah ialah larangan memfitnah dan berkata dusta. Fitnah dan dusta ini merupakan dua elemen yang menjadi racun perosak dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, Islam yang senantiasa menyeru ke arah perpaduan dan keamanan telah menjadikan dua elemen ini sebagai perkara larangan yang tidak boleh dilakukan. Sekiranya dua unsur perosak ini dibiarkan berlegar di kalangan masyarakat secara berleluasa, apatah lagi dijadikan amalan dan suatu kemestian, maka nantikanlah kehancuran dan porak perandanya masyarakat.

Fitnah adalah mengatakan sesuatu atau menyebarkan sesuatu fakta yang tidak benar dan tidak disukai tentang individu lain. Secara umumnya, fitnah dan berdusta ini jika dilihat dari satu sudut merupakan dua sifat yang mempunyai persamaan; iaitu menyatakan sesuatu yang tidak benar. Di dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah ditanya tentang al-ghibah (mengumpat). Maka Rasulullah menjawab: ``Mengumpat itu ialah engkau menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya.'' Sahabat bertanya: ``Bagaimana jika perkara yang disebut itu adalah sesuatu yang benar tentang saudaraku? Rasulullah menjawab: Jika perkara tersebut (yang tidak disukai) ada pada saudaramu, maka engkau telah mengumpatnya, dan jika perkara tersebut tidak ada pada saudaramu, maka engkau telah memfitnahnya (melakukan dusta ke atasnya). (Hadis Hasan Sahih riwayat at-Tirmizi)

Al-Imam an-Nawawi (w 676H) di dalam kitabnya Riyadh as-Salihin pada bab (Larangan Berdusta), menyatakan bahawa: ``Dusta itu ialah seseorang mengatakan sesuatu atau menyebarkan berita yang tidak berlaku. Seperti berkata: ``Telah berlaku begini'' atau ``Dia berkata begini'' atau yang seumpamanya, padahal perkara tersebut tidak benar. Maka dia telah melakukan dusta.''

Syeikh Muhamad ibn Soleh al-`Uthaimin di dalam Syarah Riyadh as-Salihin telah membahagikan dusta ini kepada dua bahagian:

Pertama: Dusta terhadap Allah dan Rasul-Nya. Ini merupakan jenayah dusta yang paling besar dan suatu kezaliman. Firman Allah s.w.t. : Oleh itu siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. (Al-An`am:144). Dusta terhadap Allah dan Rasul ini berlaku dalam dua keadaan iaitu sama ada ia mengatakan bahawa Allah berfirman sedemikian atau Rasulullah s.a.w. bersabda sebegini sedangkan itu bukan firman Allah dan bukan juga sabda Rasulullah, atau ia juga dianggap dusta jika kita mentafsirkan sesuatu ayat al-Quran atau hadis Nabi dengan tafsiran yang salah lagi menyimpang daripada apa yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya.

Sebagai contoh, seseorang yang menggunakan firman Allah di dalam surah al-Quraish, ayat 4-5 yang bermaksud: Yang memberi makan kepada mereka daripada kelaparan. Dan yang mengamankan mereka daripada ketakutan, dengan mendakwa bahawa dialah yang memberikan rezeki dan yang boleh menjamin keamanan seseorang. Maka dakwaan ini dengan menggunakan ayat tersebut ternyata salah. Ini kerana ayat tersebut perlu dibaca bersama ayat yang sebelumnya iaitu yang bermaksud: Maka sembahlah Tuhan rumah ini (Kaabah). (Iaitu Tuhan) yang memberi makan kepada mereka daripada kelaparan. Dan yang mengamankan mereka daripada ketakutan. Oleh itu, awaslah! Jangan memutar belitkan ayat al-Quran untuk kepentingan sendiri.

Rasulullah s.a.w. juga memberikan suatu peringatan dan ancaman yang berat terhadap sesiapa yang melakukan pendustaan ke atasnya dengan sabdanya: Barangsiapa yang melakukan dusta ke atasku maka siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka. (Muttafaqun `alaihi). Cukuplah amaran Allah dan Rasul-Nya ini sebagai peringatan kepada kita. Waspadalah dalam berbicara tentang agama. Suasana hari ini mempamerkan kepada kita bahawa ramai umat Islam yang tidak memahami secara jelas tentang sesuatu hal yang berkaitan dengan Islam tetapi berminat untuk mengambil bahagian dalam mengulas dan menyampaikan pendapat mereka. Natijahnya, maka muncullah pendapat-pendapat pelik yang lari jauh dari landasan yang sebenar. Bahkan sebahagian daripada kalam-kalam mereka itu jika diamati boleh menjejaskan kesahihan akidah mereka. Ramai juga yang menjadikan hadis-hadis Nabi s.a.w. sebagai hujah untuk membenarkan kenyataan mereka. Perkara ini jika dilihat secara kasar adalah amat baik malahan sangat dituntut. Tetapi, malangnya mereka mengambil sikap cuai dan lewa dalam menyampaikan hadis-hadis tersebut dengan tidak mempastikan terlebih dahulu akan kesahihannya. Maka digunakan hadis-hadis daif dan palsu sebagai hujah dan disebarkan kepada masyarakat. Apa yang dipentingkan adalah pendapat mereka diterima, barangan mereka laris, sokongan terhadap mereka bertambah, kedudukan mereka tidak tergugat, periuk nasi mereka selamat.

Malah yang lebih malang lagi, perkara ini dilakukan oleh mereka yang berpendidikan khusus dalam bidang agama. Mereka mengerti hakikat yang sebenar, tetapi sengaja menyembunyikan kebenaran. Mereka mengetahui hukum-hakam yang haq, tetapi sengaja memutar belitkan kenyataan. Mereka memahami tentang sesuatu ilmu, tetapi sengaja mengkhianati ilmu yang mereka pelajari. Asalkan mereka mendapat restu dan sokongan.

Dr. Nur ad-Din al-Itr di dalam kitabnya Manhaj al-Naqd fi `Ulum al-Hadith telah menggariskan lima sebab dan golongan yang menyebabkan muncul dan tersebarnya hadis-hadis palsu ini di kalangan masyarakat. Dua daripada sebab-sebab dan golongan tersebut ialah:

1. Untuk menggalakkan manusia ke arah kebaikan dan menghalang mereka daripada melakukan kemungkaran (at-Tarhib wa at-Targhib). Termasuk di dalam golongan ini adalah mereka yang jahil yang beranggapan zuhud dan ingin melakukan tazkiyat an-nafs. Tetapi amalan mereka ini dilakukan dengan keadaan mereka jahil dengan asas agama yang sebenar. Maka mereka mencipta hadis-hadis tentang fadilat-fadilat zikir dan solat-solat sunat yang melampaui prinsip-prinsip agama, lalu disebarkan untuk menggalakkan masyarakat ke arah kebaikan. Mereka pula mencipta dan menyebarkan hadis-hadis tentang azab dan balasan dosa terhadap kesalahan-kesalahan tertentu yang keterlaluan dan menyimpang jauh daripada asas agama dengan tujuan menjauhkan manusia daripada melakukan kemungkaran. Tetapi tanpa disedari mereka telah melakukan pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w.

2. Untuk mendapat habuan keduniaan. Termasuk di dalam golongan ini adalah golongan yang ingin menghampirkan diri kepada pemerintah dan juga para penyampai dan pencerita yang bertujuan mendapat habuan masing-masing. (Nur ad-Din al-Itr, Manhaj an-Naqd fi `Ulum al-Hadith (Beirut; Dar al-Fikr al-Muasir, cet. 3, 1997), hal. 304).

Kedua: Dusta terhadap manusia. Dusta terhadap manusia ini juga boleh berlaku di dalam dua keadaan. Pertama; seseorang yang berpura-pura menzahirkan dirinya sebagai seorang yang beriman, beramal soleh dan melakukan kebaikan, sedangkan hakikatnya dia adalah kafir yang tidak bersikap sedemikian. Golongan inilah yang digelar sebagai munafik. Allah s.w.t. menyifatkan golongan ini melalui firman-Nya: Dan di antara manusia ada yang berkata: ``Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat'', padahal mereka sebenarnya tidak beriman. (Al-Baqarah: 8) Kedua, pendustaan terhadap manusia boleh berlaku apabila seseorang itu mengatakan sesuatu yang tidak benar atau menyebarkan sesuatu berita palsu di kalangan masyarakat.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amru bin al-`As, Rasulullah s.a.w. menerangkan tentang empat perkara yang jika terdapat pada seseorang, maka dia tergolong dalam golongan munafik (munafik amalan). Di antara empat sifat tersebut adalah apabila bercakap ia berbohong. Sesungguhnya perbuatan menyebarkan fitnah dan berita palsu ini merupakan suatu sifat yang terkeji lagi terkutuk. Perbuatan ini merupakan punca berlakunya perselisihan pendapat, pertelingkahan, terputusnya hubungan silaturahim, malahan boleh membawa kepada pembunuhan. Sedangkan orang mukmin ini keseluruhannya disifatkan oleh Allah sebagai bersaudara. Allah s.w.t. berfirman: Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara. (Al-Hujurat: 10)

Tetapi fenomena yang berlaku hari ini, seolah-olah menghalalkan sikap berdusta dan menabur fitnah ini. Sama ada ia dilakukan oleh individu tertentu demi kepentingan peribadi atau oleh kumpulan-kumpulan tertentu demi meraih sokongan dan mendapat kemenangan. Maka disebarkanlah berita-berita palsu dan fitnah-fitnah yang memburukkan pihak lain. Sekali gus menjatuhkan kedudukan mereka.

Selain itu, sikap menabur fitnah dan menyebarkan berita palsu ini merupakan sikap yang boleh menyakiti hati sesama Muslim dan menyebabkan hubungan ukhuwah Islamiyah akan menjadi retak. Sebab itulah Islam amat melarang perbuatan menyakiti hati seorang Muslim yang lain dan menjanjikan balasan dosa terhadap mereka yang melakukan sedemikian. Firman Allah s.w.t. bermaksud: Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata. (Al-Ahzab: 58)

Al-Imam Ibn Kathir (w 773 H), ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ``Mereka telah menyandarkan kepada orang beriman ini sesuatu perkara yang tidak dilakukan oleh mereka (orang beriman), maka inilah fitnah dan dusta yang besar iaitu menyatakan sesuatu perkara tentang orang yang beriman apa yang tidak dilakukan oleh mereka dengan tujuan untuk memalukan dan menjatuhkan martabat mereka.'' (Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran al-'Azim (Beirut: Dar al-Turath al-Arabi, Ctk. 1, 2000), m/s 524).

Justeru, wahai seluruh kaum Muslimin, berhati-hatilah dalam berbicara, berwaspadalah dalam bertindak. Ini kerana segala perkataan dan perbuatan yang dilakukan di dunia, sedikit pun tidak akan terlepas daripada pandangan dan perhitungan-Nya. Allah s.w.t. berfirman bermaksud: Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukan) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Qaaf: 18)

Ingatlah, setiap lafaz yang diucapkan oleh lidah dan sebarang tindakan yang dilakukan oleh anggota, maka kita akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan. Firman Allah s.w.t. bermaksud: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (Al-Isra': 36)

Akhirnya, renungilah sabda Rasulullah s.a.w. ini: Daripada Ibn Mas'ud r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya bercakap benar membawa kepada kebaikan, dan sesungguhnya kebaikan itu membawa kepada syurga, dan tidaklah seseorang yang bercakap benar sehingga ditulis di sisi Allah dia di kalangan orang yang benar; dan sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan membawa kepada neraka, dan sesungguhnya tidaklah seseorang yang berdusta sehingga ditulis di sisi Allah bahawa dia di kalangan pendusta. (Muttafaqun `alaih). Semoga kita semua digolongkan Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang benar dan dijauhkan daripada api neraka serta dimasukkan sebagai salah seorang daripada penghuni-penghuni syurga-Nya. Amin.

Print

0 comments

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Sekapur Sirih


Salam...Selamat Datang Ke Blog Sagasama ...Ini Merupakan Sambungan Daripada Blog Yang Lama ( blogsagasama.blogspot.com ) Kerana Blog Yang Lama Sudah Terdelete Secara Tidak Sengaja...Semoga Sahabat Sekelian Mendapat Manfaat Dari Blog Ini...

Email dan YM Admin : sagasue@yahoo.com

ADMIN : TIDAK ON LINE





free counter