Kategori

Isi Kandungan

Followers

Promosi Blog Anda

Daftarkan Blog Anda Disini...Percuma

Matlamat Perkahwinan

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Thursday, June 3, 2010

http://ymsagasama.blogspot.com/

Zaman ini kalau ditanya kepada 100 orang, apakah matlamat perkahwinan, kita akan memperolehi seratus jawapan yang tentunya tidak seragam. Dalam ajaran Islam, oleh kerana perkahwinan itu adalah perintah Tuhan, sudah tentulah ada matlamat yang baik. Tentulah tidak sewenang-wenangnya dan boleh buat apa saja matlamat menurut selera dan kepentingan masing-masing.


Oleh kerana Tuhan mahukan hamba-hamba-Nya mendapat bahagia dan sejahtera dunia dan Akhirat, maka Tuhan tetapkan matlamat. Dengan matlamat itu diharapkan menjadi modal untuk manusia mengabdikan diri kepada Tuhan dengan penuh takut dan bimbang. Takut dan bimbang kalau-kalau terseleweng dari matlamat yang diredhai-Nya.

Matlamat Pertama:
Tuhan telah menciptakan manusia lelaki dan wanita yang sama-sama ada keinginan, iaitu lelaki inginkan perempuan dan perempuan juga ada nafsu kepada lelaki. Tiada siapa yang boleh menolak fitrah semula jadi ini. Bahkan ketika Nabi Adam bersendirian di dalam Syurga yang penuh nikmat itu, Nabi Adam sudah merasakan ada sesuatu kekurangan dalam hidupnya di tengah-tengah nikmat Syurga. Biarpun begitu, Nabi Adam tidak tahu mentafsirkan rasa itu, sehinggalah apabila Nabi Adam Tuhan pertemukan dengan Hawa.

Ketika itulah Nabi Adam mendapat jawapannya. Begitulah sifat fitrah semula jadi manusia. Lantaran itulah maka Tuhan syariatkan agar berkahwin. Melalui perkahwinan itu maka tersalurlah keinginan itu secara halal dan sekaligus terhindar daripada zina. Tanpa syariat perkahwinan, keinginan semula jadi itu mustahil dapat dibendung. Maka akan berleluasalah perbuatan zina yang terkutuk itu.

Matlamat Kedua:
Perkahwinan akan menjadi sebab untuk mendapat zuriat. Zuriat yang lahir dari suami isteri beriman dan bertaqwa itu diasuh, dididik, dipimpin dan dibimbing pula secara Islam. Mereka diberi ilmu, iman dan dididik supaya bertaqwa. Diasuh supaya menjadi hamba Allah yang cintakan Tuhan dan Islam. Maka melalui zuriat itulah nanti pejuang Islam akan bersambung dari satu generasi ke satu generasi.

Matlamat Ketiga:
Apabila matlamat kedua tercapai, sekaligus akan tercapailah matlamat yang ketiga iaitu tujuan perkahwinan agar lahirlah satu generasi yang benar-benar menjadi aset kepada keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Yang mana mereka itu benar-benar memberikan manfaat kepada keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Bukan menjadi beban yang mendatangkan masalah.

Matlamat Keempat:
Menjadi aset itu ertinya berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Mereka mentaati Tuhan dan berbakti kepada masyarakat. Mereka akan mewariskan pula kepada anak, cucu, cicit dan seterusnya sambung-bersambung. Ertinya mereka juga menjadi aset simpanan pahala di Akhirat kelak. Iaitu jasa dan manfaat mereka itu dunia dan Akhirat.

Matlamat Kelima:
Melalui perkahwinan yang benar-benar berjalan atas kehendak Tuhan dan Rasul-Nya, anggota keluarga akan memiliki ciri-ciri hamba Allah yang beriman dan bertaqwa yang sangat memelihara hubungan dengan Tuhan serta syariat-Nya. Di situ nanti akan terbinanya sebuah negara Islam kecil yang menjadi asas kepada negara Islam sebenar.

Matlamat Keenam:
Seorang muslim bukan sahaja diperintahkan untuk mencari keredhaan Allah SWT sahaja, tetapi juga dianjurkan untuk berbuat apa yang disukai oleh kekasih Allah iaitu Rasulullah SAW. Baginda berbangga dan menyukai ramainya pengikut atau umat Baginda di Akhirat kelak. Apa kesukaan Rasulullah SAW itu juga yang sewajarnya menjadi kesukaan umat Baginda. Oleh itu melalui perkahwinan, dapat mencapai tujuan tersebut iaitu meramaikan umat Baginda.

Matlamat Ketujuh:
Perkahwinan dalam Islam ada maksud besar disebaliknya iaitu meramaikan umat Islam. Meramaikan umat itu bukan sekadar angka atau kuantitinya besar, tetapi lebih dari itu iaitu umat yang sangat berkualiti. Dengan umat yang berkualiti iaitu beriman dan bertaqwa, maka akan lebih mudahlah terbangunnya cita-cita dan perjuangan Islam di muka bumi ini. Asas pembinaan umat berkualiti itu mesti berlaku dan dimulakan dari keluarga.

Matlamat Kelapan:
Perkahwinan juga dapat menjaga keturunan atau zuriat yang benar-benar cintakan Tuhan dan agama. Melalui keturunan itulah orang kenal asal usul kita dan generasi penyambung.

Matlamat Kesembilan:
Dalam ajaran Islam, menghiburkan orang lain itu sangat disukai oleh Tuhan dan mendapat pahala. Kesan dari sikap atau perbuatan atau perlakuan yang menghiburkan orang lain itu, kehidupan akan menjadi bahagia dan harmoni. Akan terjalin hubungan kasih sayang antara satu dengan yang lain. Maka dalam Islam, pasangan suami isteri yang berniat, berazam dan berusaha saling memberi hiburan maka pahala yang tidak putus-putus dari Tuhan, sekaligus kehidupan keluarga turut bahagia dan harmoni. Rumahtangga bahagia dan harmoni melahirkan anak-anak yang berakhlak dan seterusnya masyarakat yang harmoni.

Demikianlah di antara matlamat perkahwinan dan berumahtangga dalam Islam. Matlamat yang murni dan mulia. Matlamat yang menjamin kesejahteraan rumahtangga. Matlamat yang bukan sahaja menjamin rumahtangga bahagia di dunia, bahkan melalui rumahtangga itu dapat mengumpul bekal untuk Akhirat kelak. Kalau pun mungkin tidak kaya dari sudut material, namun kehidupan penuh rahmat dan berkat. Tuhan jadikan kehidupan keluarga itu penuh kasih sayang, aman damai, tenang dan bahagia.

Print

0 comments

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Sekapur Sirih


Salam...Selamat Datang Ke Blog Sagasama ...Ini Merupakan Sambungan Daripada Blog Yang Lama ( blogsagasama.blogspot.com ) Kerana Blog Yang Lama Sudah Terdelete Secara Tidak Sengaja...Semoga Sahabat Sekelian Mendapat Manfaat Dari Blog Ini...

Email dan YM Admin : sagasue@yahoo.com

ADMIN : TIDAK ON LINE





free counter