Kategori

Isi Kandungan

Followers

Promosi Blog Anda

Daftarkan Blog Anda Disini...Percuma

Kanser Usus

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Thursday, October 21, 2010 0 comments

Terima kasih Lee Sya - Torrent Jiwang

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Hadis : Dijauhkan Dari Neraka 70 000 Musim

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


Hadis :
Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:"Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh 70 000 musim." (Muslim)



Huraian :
Dilihat secara terperinci, kita dapati orang yang berpuasa itu dapat dibahagikan kepada tiga golongan iaitu:
i) orang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia.
ii) orang yang berpuasa kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah.
iii) orang yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada Allah dan manusia.

Orang yang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia, puasa mereka adalah berdasarkan kepada perasaan sedar dan insaf kepada perintah Allah S.W.T yang mewajibkan berpuasa. Golongan ini akan sentiasa berhati-hati dan sentiasa menjaga puasanya daripada perkara yang boleh membatalkan puasa. Oleh kerana itu, di mana-mana tempat sekali pun, sama ada di tempat tersorok atau tidak, mereka tetap memelihara puasanya. Golongan ini sedar bahawa Allah tetap melihat perbuatan mereka walaupun mereka tidak dapat melihat Allah.

Tentang golongan kedua pula, mereka ini berpuasa semata-mata kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah. Lantaran itu, apabila berada jauh daripada pandangan manusia, tanpa segan-silu mereka meninggalkan puasa. Golongan ini berpuasa bukan kerana taat dan patuh kepada perintah Allah tetapi kerana malu kepada manusia lain yang berpuasa. Biasanya orang yang seperti ini berpuasa kerana hendak menunjuk-nunjuk atau riak. Mereka tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah mahupun pada diri sendiri.

Golongan ketiga ialah mereka yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada manusia apatah lagi kepada Allah. Golongan ini dianggap paling hina di sisi Allah. Bahkan ada ketikanya mereka ini sanggup mengaku sebagai orang bukan Islam agar terlepas daripada hukuman dan tindakan pihak berkuasa. Mereka tidak sedar bahawa pengakuan itu boleh membatalkan syahadah.

Menyedari hakikat ini, renungkanlah. Dalam golongan manakah kita berada?

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Hadis : Lalat Dan Penyakit; Rasulullah Dan Saintis

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 1 comments


Hadis :
Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: " "Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat." Riwayat al-Bukhari



Huraian :
Islam menghendaki kita supaya menjaga kebersihan bukan sahaja pada pakaian dan tempat tinggal malah pada makanan dan juga minuman. Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal ini sehinggakan apabila seekor lalat pun yang memasuki makanan atau minuman, baginda menyuruh kita berwaspada terhadap penyakit yang bakal menimpa seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Apa yang disebutkan di dalam hadis di atas telah pun dibuat kajian oleh para saintis pada zaman kemudiannya. Contohnya pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universiti Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golongan Antomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat. Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar. Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit.

Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah. Kemudian pada tahun 1947, Ernestein seorang Inggeris juga menyelidiki Fitriat pada lalat ini. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahawa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria. Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekali gus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya.

Justeru mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini.

Maka adalah ternyata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah adalah benar iaitu saranan baginda kepada kita agar menenggelamkan lalat terlebih dahulu ke dalam air bagi mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat tersebut, dalam erti kata bahawa badannya harus dibasahkan sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat. Subhanallah betapa hebatnya junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Hadis : Status Orang Mati Bunuh Diri

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Tuesday, October 12, 2010 0 comments


Hadis :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:":Sesiapa yang membunuh dirinya dengan benda tajam, maka benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka Jahanam. Hal itu akan berlangsung selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun sehingga mati, maka ia akan meminumnya di dalam neraka Jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, maka ia akan menjatuhkan dirinya ke dalam neraka Jahanam selama-lamanya." Riwayat Abu Hurairah


Huraian :
i) Suatu topik yang sedang hangat terjadi dalam masyarakat hari ini ialah kejadian BUNUH DIRI. Dilaporkan bahawa puncanya adalah disebabkan kurangnya tahap didikan dan beratnya beban yang ditanggung oleh si pelaku.

ii) Di dalam Islam perbuatan membunuh diri adalah termasuk dalam dosa besar dan dilarang keras. Hal ini kerana manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah dan diutamakan melebihi makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain.

iii) Orang yang membunuh diri adalah orang yang lari dari tanggungjawab kemanusiaannya. Lebih parah daripada itu perbuatan tersebut menunjukkan kurangnya kepercayaan seseorang itu terhadap takdir Allah S.W.T sedangkan Islam mengajarkan umatnya tentang kepentingan sabar dan tawakkal serta melarang daripada sifat berputus asa dan sebagainya.

iv) Orang yang beriman tidak boleh membunuh dirinya sendiri dengan sebarang alasan kerana Allah S.W.T pernah berfirman yang maksudnya:
"Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." (an-Nisaa: 29)

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Hadis : Rumahku syurgaku

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


Hadis :
Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:"Apabila kamu telah menunaikan solat (wajib) di masjid, maka kerjakanlah pula solat (sunat) di rumah kerana dengan itu Allah akan menjadikan rumah itu bahagia." (al-Bukhari)

Huraian :
1. Rumahku syurgaku adalah rumahtangga yang mempunyai ciri-ciri keislaman yang sebenar boleh menyediakan persekitaran yang harmoni dan melahirkan kasih sayang, hormat menghormati serta pelaksanaan ibadah yang membawa kepada ketenangan dan ketenteraman.


2. Ada beberapa tempat, yang jika dilakukan ibadah di dalamnya, akan mendapat pahala dan keutamaan yang lebih besar berbanding dilakukan di tempat lain seperti solat di Masjidil Haram, setara dengan seratus ribu solat di tempat lain. Solat di Masjid Nabawi, setara dengan seribu solat di tempat lain dan solat di Masjid al-Aqsa, setara dengan lima ratus kali solat di tempat lain. Solat yang paling utama dilakukan di masjid itu adalah solat wajib. Sementara untuk solat sunat yang paling utama adalah jika dilakukan di rumah.

3. Waktu di rumah seharusnya diisi dengan perkara yang bermanfaat dan mendatangkan pahala kerana perhatian terhadap pembangunan rumah dan isi rumah merupakan perkara yang paling penting untuk membangun masyarakat muslim. Hal ini kerana sebuah masyarakat akan terbina daripada gabunagn isi rumah. Jika unsur dasarnya baik, maka akan kuatlah sesebuah masyarakat itu.

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Hadis : Orang Yang Berbudi Mulia

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


Hadis :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
"Bukanlah (golongan ini) daripada orang beriman yang sempurna imannya : orang yang suka mengecam, suka melaknat yang suka bercakap kufur dan yang suka mencarut" Riwayat Ahmad

Huraian :
Pengajaran Hadis
i) Orang yang berbudi mulia akan sentiasa berusaha menjauhkan dirinya daripada terlibat dalam pertelingkahan yang selalunya tidak berlandaskan pemikiran yang rasional kerana hal ini merupakan satu tindakan yang tidak produktif dan tidak berfaedah malah hanya akan berakhir dengan perpecahan dengan hidup saling bermasam muka di antara satu sama lain.


Ii) Islam menyuruh kita agar hidup bersatu padu, bersikap merendah diri dan tidak berlagak sombong. Ini akan memudahkan perhubungan dan kasih sayang sesama umat Islam di mana pemimpin masyarakat dan organisasi yang sebegini juga akan disenangi oleh para pengikut dan kakitangannya malah akan mudah mendapat kerjasama daripada mereka.

iii) Demikian juga kita dilarang menceritakan keburukan orang lain dengan melaknat, mengecam mencemuh, mencarut dan sebagainya kerana ini akan menyebabkan pergaduhan dan hilang rasa hormat antara sesama anggota masyarakat. Maka berlakulah ketegangan yang sebenarnya merugikan keseluruhan umat Islam itu sendiri.

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Hadis : Empat kunci kebahagiaan

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Friday, October 8, 2010 0 comments


Hadis :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:":Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.!" Riwayat Ibnu Hibban

Huraian :
i) Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:

a) Wanita yang solehah- iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.


b) Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.

c) Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.

d) Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.

ii) Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.

iii) Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Hadis : Jangan Menolak Sedekah

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


Hadis :
Dari Salim bin Abdillah bin Umar dari ayahnya r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah memberi sesuatu kepada Umar bin al-Khattab. Maka Umar berkata : "Berikanlah kepada orang yang lebih fakir daripada aku." Nabi bersabda: "Ambillah lalu kembangkan atau engkau sedekahkan. Sesuatu yang datang kepada mu dari harta ini sedangkan engkau tidak mengharap dan tidak memintanya maka ambillah dan sesuatu yang tidak datang kepada mu maka janganlah engkau ikutkan diri mu pada sesuatu itu." (Muslim)


Huraian :
Masyarakat moden sekarang lebih mudah dan senang bersedekah. Ini bersesuaian dengan peredaran masa yang membolehkan kita bersedekah menggunakan potongan melalui bank serta yang terbaru bersedekah atau menderma menggunakan sistem perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) menerusi telefon mudah alih. Al-Quran menyebut yang maksudnya: "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang mu'allaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan dalam perjalanan). (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (at-Taubah:60).

Pada zaman ini tidak hairan jika dikatakan ramai manusia sanggup menipu untuk mendapatkan sedekah. Sebaliknya amat menghairankan dan jarang-jarang berlaku orang yang menolak sedekah sedangkan keadaan fizikal dan hidupnya amat memerlukan. Mereka tidak meminta jauh sekali ingin mendesak dalam mendapatkan sesuatu daripada orang lain. Dalam hal ini Islam sesungguhnya amat menggalakkan kita agar berusaha sedaya upaya untuk mencari rezeki untuk menyara kehidupan dan Islam tidak menggalakkan kita meminta sedekah. Namun seandainya sesuatu itu datang tanpa diduga atau diminta ia dianggap sebagai pemberian dan rezeki daripada Allah SWT. Terimalah ia dengan penuh kesyukuran mudah-mudahan rezeki itu akan bertambah bahkan membolehkan kita bersedekah pula kepada orang lain. Kata orang ‘tangan yang di atas itu lebih baik daripada tangan yang di bawah." Dengan perkataan lain Islam menggalakkan kita bersedekah namun Islam tidak sekali-kali menggalakkan kita menjadi orang peminta sedekah.

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Sejarah Keimanan

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Thursday, October 7, 2010 2 comments


Ketika membaca surah al Kahfi kita akan temui sedikit perselisihan berkaitan bilangan pemuda yang tertidur di dalam gua. Berbagai sangkaan berkaitan jumlahnya; ada yang mengatakan 3 orang dan keempatnya ialah anjing, ada yang mengatakan 5 orang dan keenamnya anjing dan sebagainya.

Al Quran hanya menyatakan bahawa Allah lebih mengetahui bilangannya yang sebenar tetapi tidak meyatakan berapa.

22. Nanti (ada orang yang akan) mengatakan (jumlah mereka) adalah tiga orang yang keempat adalah anjingnya, dan (yang lain) mengatakan: "(jumlah mereka) adalah lima orang yang keenam adalah anjing nya", sebagai tekaan terhadap barang yang ghaib; dan (yang lain lagi) mengatakan: "(jumlah mereka) tujuh orang, yang ke lapan adalah anjingnya". Katakanlah: "Tuhanku lebih mengetahui jumlah mereka; tidak ada orang yang mengetahui (bilangan) mereka kecuali sedikit". Kerana itu janganlah kamu (Muhammad) bertengkar tentang hal mereka, kecuali pertengkaran zahir saja dan jangan kamu menanyakan tentang mereka (pemuda-pemuda itu) kepada seorangpun di antara mereka. (Al Kahfi)


Kenapa Allah SWT tidak dengan tegas menyatakan bilangan sebenar supaya segala kekeliruan itu terungkai. Bukankah Allah SWT lah yang mengatur seluruh kejadian alam, yang mengetahui segala rahsia yang tersembunyi dan segala kekusutan yang tak terungkai. Tentunya Allah SWT mengetahuinya tetapi ayat-ayat ini al Quran ingin menegaskan bahawa angka-angka ini bukanlah perkara beasr yang perlu kita berikan perhatian. Jika Allah SWT mengkehendaki tentunya Allah boleh lengkapkan tarikh dan waktu pada semua peristiwa yang terakam di dalam al Quran.

Sejarah yang ingin diketengahkan oleh Al Quran ialah sejarah keimanan dan kekufuran manusia. Apakah akibatnya mereka yang kufur dan apakah pula kemuliaan bagi mereka yang mempertahankan keimanan mereka. Al Quran ingin menggambarkan kebinasaan dan penghinaan sebagai akibat dari kekufuran agar hati-hati kita bergetar dan merasai panggilan keimanan lalu merasa perlu untuk tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Al Quran ingin mengajarkan kita tentang kemudharatan kufur supaya kita merasa terancam dengan dosa-dosa yang mengotori hati kita sehingga kita mahu menadah tangan dan memohon keampunan Allah SWT dengan penuh kerendahan jiwa dan rasa takut.

Al Quran ingin membezakan dengan jelas antara perkara dasar dan perkara cabangan supaya umur kita yang terbatas ini tidak disibukkan oleh perkara-perkara remeh dan tidak bermakna. Al Quran ingin menyibukkan jiwa kita dengan ketaqwaan hingga kita sentiasa bersiap sedia untuk pulang pada Allah SWT. Ayat-ayat Allah SWT ini ingin mengajarkan hati kita agar sentiasa sedar diri dan merasa malu untuk pulang kepadaNya dengan hati yang kotor penuh noda. Ayt-ayat Allah SWT ini ingin mengancam kita akan beratnya siksaan yang bakal kita terima jika kitab amalan kita nanti terbang dari sebelah kiri atau belakang kita.

Allah SWT ingin menunjukkan kepada kita jalan yang benar iaitu jalan keimanan yang akan mengantar kita pada keredhaan dan pengampunanNya.

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Jadilah Seperti Rama-Rama

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


Tidak ada salahnya, sekali sekala kita merendahkan diri untuk belajar dari makhluk-makhluk Allah yang kecil. Bahkan itulah yang dituntut kepada kita, dengan kerendahan jiwa barulah kita dapat benar-benar merasai kebesaran dan keagungan Allah SWT. Allah SWT tentunya tidak menjadi semua ciptaanNya untuk tujuan main-main atau sia-sia. Lukisan alam yang begitu indah ini adalah gambaran seni dan rapinya ciptaan Allah tetapi manusia yang selalu leka dan lupa diri sentiasa lupa untuk bersyukur. Kata Said nursi Badi’uzzaman kita kagumkan lukisan tetapi kita lupa kehebatan Pelukisnya.

Sesungguhnya alam yang terbentang luas ini, kata syed Qutb merupakan kitab Rubbubiyyah yang terbentang. Sekiranya kita membuka lembarannya satu demi satu maka kita akan dapat memahami kehebatan Allah SWT. Bahkan ilmu Allahpun tak mampu kita taksir.


Cukuplah kali ini kalau kita melihat rama-rama. Makhluk kecil yang selalu kita terlepas pandang kewujudannya. Ya, rama-rama kecil yang berterbangan di sana sini. Mungkin tidak ramai yang tak sempat untuk mengkagumi seni dan keindahannya. Warna dan coraknya begitu indah dan serasi.

Saya begitu tertarik dengan gambaran penyair Tunisia, Ahmad Mukhtar yang dikemukakan oleh Muhammad Ahmad Ar Rasyid di dalam kitab dakwahnya iaitu Al Muntalaq. Kata-kata yang ringkas tetapi memiliki makna yang cukup mendalam. Tak hairanlah kalau saya tak jemu-jemu membacanya berulang kali.

Tenang dalam diamnya,
Lebih jelas dari orang yang berbicara.

Memang kecantikan rama-rama tidak lagi dapat dinafikan oleh sesiapa jua yang memiliki mata dan jiwa. Tidak ada bunyi yang dikeluarkan tetapi kita sering saja merasakan kehadirannya. Katakan ada seekor rama-rama yang tersesat masuk ke dalam kelas, rumah atau pejabat kita maka seluruh mata akan tertumpu padanya.

Begitulah syakhsiyah seorang mukmin; pendiam, selalu berfikir, merenung dengan tenang, tidak banyak bicara tetapi diliputi kewibawaan yang berpengaruh. Hati-hati merasa terisi dengan kehadirannya, suasana terasa sunyi tanpanya, majlis semakin bermakna melihat ketibaannya dan jiwa-jiwa menumpang ketenangan dari raut wajahnya. Mukmin itu ibarat permata beserta kilauan keindahannya, ketika bersendirianpun cahayanya begitu jelas dan indah maka apatah lagi apabila permata permata itu dikumpulkan makin terserlah dan indah cahayanya. Segala tingkah lakunya adalah qudwah bahkan diamnya pun menjadi sumber tarbiah.

Bila diamnya terlalu lama,
Tergugahlah ia oleh keharusannya untuk bergerak.

Diam dan istirehat itu adalah sunnah kehidupan, namun seorang mukmin tidak menjadikannya sebagai alasan untuk bermalasan, santai dan lalai melainkan sekadar memenuhi keperluan badani. Bermodalkan ilmu dan keimanan serta semangat dan keazaman, jiwanya sentiasa terdorong untuk beramal.

Namun syaithan tidak pernah mungkir dan lalai dengan janjinya untuk menyesatkan anak-anak Adam. Jiwa seorang mukmin sering tergugah dengan pujian dan sanjungan. Kilauan dunia hampir-hampir menjadikannya lalai dan leka dengan tujuan hidupnya yang hakiki. Namun dengan keimanan yang tertanam dijiwa dan rahmat Allah yang Maha Penyayang sering menjadikannya tersedar dan insaf. Itulah jiwa mukmin, seperti rama-rama yang kadang-kadang terpaku dengan kilauan air yang menjadikannya ta'jub terhadap keindahan dirinya.

Betapa sering ia melihat bayangan dirinya,
Yang terpantul dari riak air,
Seakan-akan bintang yang berkilauan,
Sedang permukaan air adalah cakrawalanya.

Ia terbang mengelilinginya,
Menatapinya dan merindukan seandainya dapat hinggap padanya,
Akan tetapi hampir saja ia binasa tenggelam,
Andai dirinya tidak segera sedar.

Itulah gambaran jiwa yang beriman,
Mustahil membodohi dirinya,
Jelas sekali perbezaan antara kesesatan dan petunjuk baginya.



Marilah kita menjadi seperti rama-rama, menghiasi diri dengan kemuliaan serta menjadikan amal sebagai keperluan.

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print
Related Posts with Thumbnails

Sekapur Sirih


Salam...Selamat Datang Ke Blog Sagasama ...Ini Merupakan Sambungan Daripada Blog Yang Lama ( blogsagasama.blogspot.com ) Kerana Blog Yang Lama Sudah Terdelete Secara Tidak Sengaja...Semoga Sahabat Sekelian Mendapat Manfaat Dari Blog Ini...

Email dan YM Admin : sagasue@yahoo.com

ADMIN : TIDAK ON LINE





free counter