Kategori

Isi Kandungan

Followers

Promosi Blog Anda

Daftarkan Blog Anda Disini...Percuma

Perkahwinan Adalah Fitrah

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Monday, February 8, 2010


Jalan Mencapai Perkahwinan yang Diredhai Sebagai seorang insan, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah bekalkan pelbagai keinginan di dalam diri manusia. Ia merupakan keinginan semulajadi, yang datang tidak diundang dan keinginannya tiada siapa yang mendorong. Di antara banyak keinginan semulajadi manusia itu ialah ingin berkahwin. Tiada makhluk di muka bumi ini menidakkan kenyataan ini. Haiwan yang membuas di hutan belantara dan yang hidup melata di muka bumi ini pun berkahwin apatah lagi manusia yang dibekalkan oleh Subhanahu wa Ta’ala nafsu dan perasaan, sesungguhnya itu ia amat berkeinginan. Tetapi apabila ada orang yang mengatakan dia lebih seronok membujang atau ‘mendara’, hakikatnya dia telah menentang fitrah hatinya. Orang yang bersifat demikian jiwanya akan tertekan. Kadang-kadang situasi ini akan membuatkan dia mengambil keputusan yang sukar dipertimbang malahan ia mudah sekali melakukan dosa dan kejahatan. Oleh kerana jalan itu adalah bahaya dan kesannya amat dipandang hina maka manusia berusaha untuk mencari pasangan hidupnya untuk dinikahi. Buktinya orang lelaki akan berusaha untuk dapatkan pangkat dan kekayaan dengan tujuan agar mudah dapat calon isteri. Di bangku sekolah lagi keinginan untuk kahwin sudah kelihatan. Iaitu bila yang lelaki sudah pandai berkenalan dengan murid perempuan. Berutu-utus surat, kononnya untuk bertukar fikiran dalam pelajaran. Tetapi niat sebenarnya ialah kerana ada kecenderungan hati pada wanita. Minat pada wanita sudah bangkit dalam jiwanya. Walhal kalau hendak bertukar-tukar fikiran dengan kawan lelaki pun boleh. Tetapi lebih suka cari yang perempuan. ‘Perkenalan Lelaki & Perempuan yang Membelakangkan Syariat’ Begitu juga di pihak perempuan. Masuk belasan tahun mulalah pasang badan. Mula pandai berhias-hias dengan make-up dan baju cantik dan suka diri dipandang cantik. Dengan harapan adalah lelaki yang terpikat. Kerana minat pada kaum yang berlainan jenis telah bercambah. Bermulalah api cinta. Perkenalan lelaki perempuan yang membelakangan syariat akan menuju kepada kehancuran dan dosa. Akan mudahlah berlaku perkara yang menyebabkan maruah ternoda gara-gara cinta nafsu muda. Kerana apabila berdua-duaan antara lelaki dan perempuan maka syaitan akan jadi orang ketiga yang akan mencetuskan api berahi hinggakan berlakulah zina mata, zina tangan, zina badan dan hingga membawa kepada zina sebenarnya. Perkahwinanlah jalan keluar untuk menyelamatkan manusia daripada godaan nafsu syahwat. Imam Al-Ghazali menyatakan tujuan perkahwinan ialah untuk memberitahu manusia akan nikmat di akhirat. Dengan merasakan nikmat yang sedikit manusia sepatutnya lebih berhajat kepada nikmat yang lebih besar di akhirat, yakni syurga dengan melakukan ketaatan kepada Allah sehingga ia layak sampai ke sana. ‘Bila Kahwin Tidak Berkat, Mudahlah Hati Pecah & Retak…’ Janganlah disebabkan tidak cukup belanja maka perkahwinan jadi terhalang. Walhal nafsu syahwat sudah tidak terkendalikan dan bila-bila masa sahaja boleh mendorong tuannya kepada maksiat. Mengenakan hantaran atau belanja beribu-ribu ringgit sehingga membantut atau melambatkan saat perkahwinan adalah hal yang sangat tidak patut. Kerana sikap yang begini boleh menyebabkan ada yang nanti sanggup hidup bersekedudukan lelaki perempuan tanpa nikah. Selalunya ibu bapalah yang sibuk mengenakan hantaran belanja yang tinggi, untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain yang bakal menantunya orang kaya, berjawatan tinggi, bolehlah dia berbangga-bangga. Itulah ciri-ciri orang yang sombong akan menjerumuskan tuannya ke neraka. Salah siapa kalau anak kahwin lari? Sudah dipinang tidak dapat, dibawalah lari. Ibu bapa juga yang putih mata. Ramai ibu bapa yang suka pilih menantu yang bergaji besar, pangkat besar tetapi tidak peduli sama ada bakal menantu punya iman besar atau tidak. Kadangkala ibu bapa menolak lamaran lelaki yang bergaji rendah walaupun akhlak yang baik, kerana bimbang masa depan anaknya gelap bersuamikan lelaki miskin. Mereka tidak bergantung kepada rezeki dari Allah. Sikap ibu bapa yang suka mengenakan hantaran tinggi mestilah diubah. Agar perkara itu tidak menjadi penghalang perkahwinan dan punca maksiat. Yang penting dalam perkahwinan adalah akad nikah dan mas kahwin. Mas kahwin yang ditetapkan oleh pihak yang bertanggungjawab insya-Allah mampu dibayar oleh pihak lelaki. Walaupun begitu sekiranya pihak perempuan sanggup menerima mas kahwin dalam bentuk yang lain dari itu pun dibolehkan misalnya, mas kahwin yang berupa sebentuk cincin, ayat Al-Quran dan sebagainya. Oleh sebabnya sulit berkahwin, kini terdapat lelaki yang memuaskan nafsu dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Perbuatan kaum Lut dahulu dipopularkan kembali. Walhal kaum Lut dahulu telah menerima bala’ dari perbuatan mereka. Allah terbalikkan bumi kerana murkanya Allah dengan perbuatan itu. Kita bimbang kalau amalan ini dibiarkan berlaku terus menerus maka Allah akan balakan semua orang yang ada dalam masyarakat itu, kerana membiarkan maksiat didepan mereka sedangkan perbuatan itu termasuk dalam dosa-dosa besar, dan jalan ke arah yang halal disusahkan. Berkahwin boleh mengatasi masalah itu. Sebelum berkahwin pilihlah pasangan yang mempunyai pendidikan agama, yakni bukan setakat memiliki ilmu agama bahkan ilmu itu boleh lahir dalam akhlak dan perbuatannya. Wanita-wanita yang beragama sahaja yang boleh sabar dengan ujian hidup berumah tangga. Mampu hidup susah, sanggup menjaga maruah diri dan suami. Akan meletakkan suami orang yang mulia dalam rumah tangga. Sebagaimana sabda Rasulullah Salallahu Allaihi wa Sallam: “Perolehilah olehmu wanita yang memiliki agama, nescaya engkau berbahagia.” Ada lelaki yang dirinya tidak baik, kaki zina, kaki arak dan kaki perempuan atau kaki maksiat, tetapi bila hendak berkahwin ia mau cari anak gadis yang baik dan beriman. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud: “Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik.” [An-Nur:3] Ertinya, lelaki fasik yang padan baginya ialah perempuan fasik. Lelaki alim akan mencari gadis alim. Tidak peliklah kalau gadis alim juga akan menunggu pinangan orang alim. Lantaran itu bila datang pinangan lelaki fasik walau berjawatan tinggi dan berpangkat besar mereka akan menolak walaupun keluarga berkeras mahu menerimanya. Sebaliknya keluarga yang cinta dunia, bila datang lelaki alim dan tidak punya jawatan tinggi meminang, ditolak. Menderitalah si gadis berdepan dengan keluarga yang begitu. Tidak sanggup dipaksa kahwin dengan lelaki fasik yang mana dia tahu kalau berlaku juga perkahwinan itu imannya akan tergadai. Justeru itu ada yang sanggup lari meninggalkan keluarga untuk selamatkan iman. Perkahwinan juga dikira sebagai ibadah dan amal soleh yakni berpahala sekiranya aturan perkahwinan dapat dibuat mengikut syariat islam. Sebaliknya akan mendatangkan dosa sekiranya dibuat mengikut adat dan membelakangkan syariat. Hari ini berapa ramai orang yang berkahwin, yang membuatkan syaitan tergelak besar dengan perkahwinan itu. Sepatutnya syaitan sedih dan menangis tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Syaitan gembira kerana bila buat majlis perkahwinan, bercampur aduk lelaki perempuan. Ada muzik, ada majlis persandingan yang ditonton oleh ribuan mata. Pakaian penganti yan mendedah aurat dan mahal serta membazir. Buat majlis yang besar sehingga ada yang memakan masa berhari-hari untuk meraikan sesuatu majlis perkahwinan sampai tertinggal solat fardhu, lalai dengan Allah. Maka perkahwinan ini bukannya mendapat berkat sebaliknya mendapat lakhnat dari penduduk langit. Janganlah kerana berlebihan duit buat majlis kahwin besar-besaran. Sehingga melalaikan orang. Yang lebih lalai ialah pengantin. Macam mana hendak solat kalau kat tangan sudah penuh inai dan kuitex. Senantiasa bermake-up, bersanggul, pakai baju cantik. Rosaklah make-up, rambut yang sudah diset kalau mengerjakan solat. Begitulah perkahwinan yang melalaikan manusia pada tuhan. Tiada berkat malah tiada pahala disisi Allah. Tidak peliklah kalau usia perkahwinan tidak panjang. Indahnya perkahwinan hanya semasa berbulan madu. Lepas itu mulalah nampak belang pasangan masing-masing. Bila kahwin tidak berkat mudahlah hati pecah dan retak. Perkara kecil boleh dipertengkarkan hingga jadi besar. Bila sudah selalu sangat bergeser, maka suami pun mula luntur kasihnya pada isteri. Mulalah suami nampak perempuan lain lebih cantik dan lebih baik dari isterinya. Apabila bila perut isteri sudah memboyot ada suami yang pikat gadis lain berpinggang ramping. Di pihak isteri pun begitu juga. Mula rasa suami tidak hebat. Lelaki di tempat kerja lebih baik dan bergaya dari suami. Bila masing-masing tidak bersefahaman maka jalan keluar yang paling cepat ialah berpisah. Inilah gara-gara perkahwinan yang tidak berkat. Ada campur tangan syaitan yang menyebabkan rumah tangga sering berada dalam kegoncangan dan kepanasan. Sepatutnya setiap perkahwinan di antara dua insan, syaitan akan menangis, akan kalahlah syaitan, tetapi sebaliknya syaitan yang menang dan gembira akibat kita membelakangkan syariat dan ketetapan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Print

0 comments

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Sekapur Sirih


Salam...Selamat Datang Ke Blog Sagasama ...Ini Merupakan Sambungan Daripada Blog Yang Lama ( blogsagasama.blogspot.com ) Kerana Blog Yang Lama Sudah Terdelete Secara Tidak Sengaja...Semoga Sahabat Sekelian Mendapat Manfaat Dari Blog Ini...

Email dan YM Admin : sagasue@yahoo.com

ADMIN : TIDAK ON LINE





free counter