Kategori

Isi Kandungan

Followers

Promosi Blog Anda

Daftarkan Blog Anda Disini...Percuma

Keistimewaan Jantung

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Sunday, August 16, 2009 2 comments

Di Malaysia saja, hampir satu perempat jumlah kematian disebabkan penyakit kardiovaskular.

Statistik sebegini bukan sesuatu yang patut dibanggakan. Lebih membimbangkan adalah keadaan ini berlaku walaupun teknologi perubatan kardiologi sekarang pada tahap yang termaju dan terbaik.

Dalam keghairahan kita menangani gejala sesuatu penyakit, kita lupa satu aspek yang lebih penting dalam menjaga kesihatan diri. Kita harus mengundur setapak ke belakang untuk melihat dan menghargai keadaan badan kita sebelum penyakit itu terjadi.

Di dalam artikel ini, saya akan berkongsi bersama beberapa fakta menarik mengenai jantung. Semoga dengan kesedaran yang timbul mengenai keistimewaan jantung ini membolehkan kita bersama-sama menjaganya sebaik mungkin dan seterusnya menghindari gejala penyakit jantung.






# Saiz jantung dewasa besar sedikit daripada genggaman tangan. Beratnya pula antara 300 gram (gm) dan 400gm atau seberat satu tin minuman ringan.

Jantung terletak di bahagian tengah dada di antara kedua-dua paru-paru dan bukan di bahagian kiri seperti disangka ramai. Apeks jantung yang menyentuh bahagian kiri dada membuatkan kita merasai denyutan jantung di bahagian itu. Ini menjelaskan salah tanggapan orang ramai mengenai kedudukan jantung.



# Jantung organ yang pertama berfungsi. Ia mula berdenyut ketika janin di dalam kandungan berusia hanya empat minggu. Jantung terbentuk sepenuhnya apabila usia janin meningkat ke lapan minggu dan saiz janin sepanjang 2.5 sentimeter.



# Jantung berfungsi secara automatik. Ia tidak seperti sebahagian besar organ badan kita yang dapat dikendalikan menurut kehendak kita. Contohnya apabila mahu berjalan, kita gerakkan kaki.

Jika mahu bercakap, kita keluarkan bunyi melalui kotak suara dan gunakan pergerakan mulut dan lidah untuk menghasilkan bunyi tertentu. Jika kita mahu menahan nafas seketika, kita hentikan pergerakan otot dada dan diafragma.

Ini semua tindakan dan pergerakan yang boleh dikawal. Jantung berlainan sama sekali. Ia tidak boleh ‘menurut perintah’. Kita tidak boleh hentikan pergerakan jantung walaupun seketika kerana ia terus berdenyut secara automatik tanpa henti hingga berakhirnya hayat seseorang itu.



# Proses pengaliran darah badan meliputi jantung yang bertindak sebagai pam dan sistem saluran darah yang kompleks membabitkan aorta, arteri, vena dan kapilari, iaitu saluran darah halus yang menghubungkan arteri dan vena.

Saiz aorta hampir bersamaan saiz hos air yang biasa digunakan di kebun dan saiz kapilari pula 10 kali ganda lebih kecil daripada sehelai rambut. Jika disambung semua saluran darah ini, panjang sistem ini hampir 100,000 kilometer atau bersamaan jarak mengelilingi dunia lebih dua kali!



# Arteri koronari pula adalah saluran darah di permukaan jantung yang membawa oksigen dan nutrien dari aorta ke otot jantung. Koronari berasal daripada perkataan Latin ‘korona’ dan Yunani ‘koron’ yang bermaksud mahkota atau ‘crown’ di dalam Bahasa Inggeris.

Ini kerana arteri koronari yang mengelilingi permukaan jantung dilihat seolah-olah seperti mahkota yang terletak di atas kepala.

Jika arteri koronari ini tersumbat secara tiba-tiba dan aliran darah tidak sampai ke otot jantung, ini menyebabkan serangan jantung yang berpunca daripada kerosakan teruk otot jantung.



# Satu-satunya fungsi jantung ialah sebagai pam untuk menghantar darah yang kaya dengan oksigen dan nutrien ke seluruh badan. Selepas itu darah yang kurang beroksigen kembali ke bahagian kanan jantung melalui satu litar yang kompleks sebelum disalurkan ke paru-paru untuk diperkayakan semula dengan oksigen.

Darah ini kemudian kembali ke bahagian kiri jantung untuk dipam ke seluruh badan. Satu pusingan peredaran darah di litar ini mengambil masa lebih kurang 23 saat. Ini bermakna darah membuat pusingan mengelilingi litar ini sebanyak lebih kurang tiga kali dalam masa satu minit.



# Darah mengalir melalui jantung dalam satu arah saja. Proses ini boleh terjadi dengan adanya empat injap di dalam jantung. Apabila injap terbuka, ia memberi laluan kepada darah untuk mengalir keluar dari satu bahagian jantung ke bahagian jantung yang lain.

Apabila injap ini tertutup, ia menyekat pengaliran darah ke belakang. Mekanisme penutupan injap ini menghasilkan bunyi degupan jantung “lub-dub” yang didengar oleh doktor ketika menggunakan stetoskop.

Masalah boleh timbul jika injap menjadi sempit atau bocor akibat penyakit seperti demam reumatik atau endokarditis.



# Jantung adalah organ yang sangat kuat dan bertenaga. Sebagai demonstrasi, ambil sebiji bola tenis dan genggam sekuat mungkin. Inilah anggaran tenaga yang digunakan oleh jantung setiap kali ia mengepam darah ke seluruh badan.

Jantung berupaya menghasilkan tekanan yang boleh memancutkan darah sejauh 10 meter setiap kali ia mengecut. Walaupun ketika seseorang itu berehat, otot jantung bekerja dua kali ganda lebih keras daripada otot kaki seorang yang berlari pecut.

Dalam tempoh satu jam, tenaga kerja yang dihasilkan oleh jantung boleh mengangkat barang seberat hampir 1,400 kilogram setinggi 30 sentimeter. Ini seumpama berat dua kereta Perodua Kancil. Tenaga yang dijanakan jantung sepanjang hayat seseorang pula boleh mengangkat satu kapal perang besar keluar dari air.

Begitulah kuatnya jantung kita. Bagaimanapun, seseorang akan mengalami penyakit lemah jantung apabila jantung gagal berfungsi secukupnya sebagai satu jentera untuk mengepam darah ke seluruh badan. Antara sebab utama bagi kelemahan jantung adalah kerosakan teruk pada otot akibat serangan jantung.



# Setiap kali berdenyut, jantung mengepam darah sebanyak 70 mililiter, di mana lebih kurang lima liter darah dipam dalam tempoh satu minit. Ini bermakna untuk tempoh satu jam pula, 300 liter darah, dan di dalam satu hari lebih kurang 7,200 liter darah dipam jantung kita.

Sepanjang hayat seorang manusia, jantung mengepam lebih daripada satu milion tong darah. Ini cukup untuk mengisi dan memenuhi kapasiti tiga kapal tangki minyak yang besar!



# Jantung tidak tahu erti penat. Jantung terus berdenyut sama ada anda bekerja atau tidur. Ketika anda berehat, jantung tidak berehat. Ia tetap berdenyut antara 60 dan 80 kali dalam tempoh satu minit.

Kadar ini menurun apabila usia kita meningkat. Secara purata, jantung berdenyut hampir 100,000 kali sehari, dan lebih kurang 2.5 bilion kali sepanjang hayat, tanpa rehat, walaupun untuk seketika.

Tidak mungkin ada alat atau mesin yang diperbuat oleh manusia boleh menandingi kehebatan jantung kita. Alangkah bertuahnya kita mempunyai ‘alat’ kurniaan Tuhan yang sungguh menakjubkan ini.

Sekarang ambil tangan anda dan letak di tengah dada. Tanya diri sendiri, apa perlu anda lakukan hari ini untuk memastikan jantung anda mendapat penjagaan yang terbaik.

Peliharalah jantung anda dan belailah ia dengan penuh kasih-sayang kerana ‘si jantung hati’ inilah yang akan menjaga anda sehingga akhir hayat.

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Keistimewaan Wanita

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments

SEORANG teman pernah mengusik mengatakan wanita adalah makhluk yang sangat unik kerana walaupun mengalami ‘pendarahan’ selama seminggu setiap bulan, mereka masih boleh hidup dengan baik dan bertenaga.

Malah, acap kali juga keadaan begini menjadi waktu paling sesuai untuk wanita keluar membeli-belah, terutama pada waktu rehat.

Usikan itu disambut dengan ketawa kerana ia sebenarnya merujuk kepada kitaran haid wanita. Menjadi budaya masyarakat kita tidak membincangkan soal haid secara terbuka kerana ia dianggap perkara ‘sulit’ bagi wanita.

Malah, ada yang menganggap kedatangan haid sebagai memalukan kerana didatangi ‘darah kotor’, justeru ia perlu dirahsiakan.

Bagi wanita Islam, haid adalah waktu untuk berehat daripada melakukan ibadat wajib. Ia juga boleh menjadi penanda kesuburan dan kesihatan wanita.

Darah haid sebenarnya datang daripada lapisan tisu yang mengalas dinding rahim dipanggil endometrium. Ketika bayi perempuan dilahirkan, dia sebenarnya mempunyai semua telur (dianggarkan antara 450,000 hingga 500,000) yang disimpan dalam ovari. Setiap satu mempunyai kantung khas dipanggil folikel.

Apabila baligh, badan menghasilkan pelbagai jenis hormon yang mematangkan telur dan inilah permulaan kitaran haidnya.

Folikel yang matang menghasilkan hormon estrogen. Estrogen bertanggungjawab menjadikan dinding uterus menebal, menyebabkan perubahan mukus (lendir) serviks.

Ketika haid, satu telur dikeluarkan. Ada juga kes lebih daripada satu telur dikeluarkan yang membolehkan seseorang wanita mendapat bayi kembar tidak seiras jika berlaku persenyawaan.

Telur yang tersenyawa melekat pada lapisan dinding endometrium bagi membolehkan ia membesar menjadi janin (kehamilan berlaku).

Jika persenyawaan dan kehamilan tidak berlaku, dinding ini runtuh dan dikeluarkan sebagai haid. Inilah permulaan kitaran haid yang biasanya mengambil masa seminggu. Bagi wanita Islam, pendarahan yang berlaku selepas 15 hari tidak lagi dianggap haid, sebaliknya istihadah (darah penyakit).

Wanita yang mengalami pendarahan hebat diiringi senggugut teruk (terutama selepas berumur 30 tahun) disaran menjalani pemeriksaan, bimbang ia disebabkan kehadiran fibroid atau endometriosis (kehadiran tisu endometrium di luar rahim) yang boleh menghalang kehamilan.

Berapa banyak darah yang keluar? Pada hari yang ‘tenat’, kita berasa darah haid keluar ‘mencurah’ tetapi menurut Kaunselor Seksual, Akademi Kejururawatan Amerika, Dr Beverly Whipple, secara purata kuantiti darah haid antara 30 hingga 40 mililiter atau dua hingga empat sudu makan saja!

Darah ini mengandungi zat besi, sel mati dan lendir. Kehilangan zat besi menyebabkan ramai wanita mudah berasa penat ketika haid.

Ada yang menyarankan wanita mengambil pil makanan tambahan zat besi untuk mengatasi masalah ini, terutama yang alami masalah kekurangan darah atau anemia.

Untuk menghalang darah haid terkena pakaian dan mencemarkan kesucian satu-satu tempat, wanita zaman dulu menggunakan tuala atau kain yang boleh dicuci dan digunakan semula. Tuala wanita pakai buang yang pertama dicipta pada 1890 di Jerman.

Hanya menjelang 1927 baru tuala pakai buang dihasilkan, diikuti tampon pada yang diperkenalkan secara komersial pada 1933.

Tuala wanita sentiasa mengalami perubahan dan tuala berpelekat pertama ada di pasaran pada 1970. Penyelidikan menghasilkan ‘cawan’ penadah haid bermula pada 1960-an.

Ramai wanita bimbang dengan bau darah haid. Ia disebabkan aktiviti bakteria faraj terhadap elemen darah dan ia perkara normal.

Justeru, tidak kira berapa teliti pun seseorang itu menjaga kebersihan diri, bau darah tetap ada. Namun ia dapat diatasi dengan penggunaan tuala wanita yang ada haruman tertentu.

“Antara masalah yang kerap dialami apabila menggunakan tuala wanita ialah kebocoran. Wanita berasa kurang yakin dan bimbang berlaku kebocoran sehingga terkena pakaian, terutama pada hari yang tenat. Bagi wanita sensitif pula, mereka mengalami masalah gatal sepanjang haid.

“Ramai wanita cuba mengelak terbabit dalam kegiatan aktif, terutama berenang, ketika haid. Masalah ini kurang sedikit apabila menggunakan tampon. Tuala wanita dan tampon direka untuk menyerap darah haid, perbezaannya hanya kedudukan ketika ia digunakan.

“Kekurangan menggunakan tampon ialah ia mungkin ‘hilang’ di dalam saluran faraj dan terpaksa mendapatkan bantuan pakar perbidanan untuk mengeluarkannya.

“Jika digunakan terlalu lama, ia mungkin boleh menyebabkan sindrom kejutan toksik yang terjadi akibat aktiviti bakteria pada darah haid.

“Justeru, tampon perlu ditukar setiap tiga hingga empat jam (sama seperti tuala wanita) untuk mengelak masalah,” katanya pada pelancaran Instead Softcup, alat penadah haid.

Berbeza dengan tuala wanita dan tampon, alat ini direka untuk menadah darah haid dengan memasukkannya ke belakang tulang pubik (melalui faraj). Ia selamat, tidak menyebabkan kesan alahan dan tidak mengandungi bahan toksik.

Oleh kerana ia dimasuk dan diletakkan di belakang tulang pubik, masalah kebocoran, bau dan kebimbangan ‘hilang’ tidak berlaku kerana alat ini mempunyai gelang boleh lentur yang membuatkan ia terletak sempurna di belakang tulang pubik.

Penggunaannya membolehkan wanita menjalankan semua aktiviti cergas dan lasak tanpa masalah atau kebimbangan kebocoran. Mereka juga boleh berenang seperti ketika tidak haid.

Bagaimanapun, menurut Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Datuk Dr Abdul Aziz Yahya, alat ini tidak disaran untuk wanita yang menggunakan alat pencegah kehamilan dalam rahim sama (IUD) kerana ia boleh menyebabkan IUD terkeluar.

Malah, wanita yang baru bersalin, keguguran atau baru menjalani pembedahan akibat masalah perbidanan perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu sebelum menggunakan alat ini.

Walaupun ia dikatakan sesuai untuk semua peringkat umur, tetapi bagai anak gadis beragama Islam, lebih baik berbincang dulu dengan doktor untuk menggunakannya.

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Bersalin Cara Caesarean

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


KELUAR ikut pintu atau tingkap? Ini antara kiasan orang tua dulu apabila diberitahu mengenai kedatangan anggota baru dalam keluarga.

Keluar ikut pintu maknanya bersalin normal, dan ikut tingkap pula menandakan bayi dilahirkan secara pembedahan. Bagi kebanyakan wanita, pembedahan pilihan terakhir yang hanya dipersetujui jika terpaksa.

Bagaimanapun, ada juga wanita memilih untuk melahirkan anak secara pembedahan, terutama bagi yang percaya kepada tuah satu-satu tarikh atau mahukan tarikh lahir anak yang ‘cantik’; contohnya ramai menempah melahirkan anak pada 8 Ogos 2008.

Kaedah pembedahan atau dipanggil hirisan Caesarean adalah cara melahirkan bayi melalui dinding abdomen (perut) dan rahim (uterus) yang dilakukan apabila ada risiko ke atas bayi atau ibu itu sendiri jika bersalin secara normal.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, jumlah kelahiran secara pembedahan juga meningkat daripada satu kes bagi 20 kelahiran (40 tahun lalu) kepada satu kes bagi setiap empat kelahiran.

Perubahan ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pakar perubatan yang melihat pembedahan bersalin dilakukan walaupun tidak diperlukan (atas permintaan untuk faktor kecantikan atau mahukan tarikh lahir yang disukai); sedangkan sepatutnya untuk tujuan perubatan.

Di Malaysia, permintaan untuk bersalin secara pembedahan mungkin tidak sebanyak di Barat. Dalam kebanyakan kes, peluang bersalin secara normal adalah tinggi dan dianggarkan kes pembedahan bersalin di hospital kerajaan kurang 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kelahiran.

Untuk wanita yang pertama kali mengandung, antara tanda tiba waktu bersalin ialah air ketuban pecah, ada sedikit pendarahan dan sakit kontraksi.

Secara umumnya, 80 peratus wanita bersalin secara normal dalam tempoh 24 jam selepas mengalami tanda berkenaan.

Jika air ketuban pecah, wanita perlu segera ke hospital supaya doktor boleh memantau keadaannya, termasuk memeriksa jika berlaku pendarahan atau kehadiran najis bayi di dalam rahim.

Seandainya wanita masih tidak melahirkan anak selepas mengalami tanda, doktor akan memberi ubat induksi untuk mempercepatkan pintu rahim terbuka bagi membolehkannya bersalin secara normal.

Bagi wanita sihat, tidak menghadapi masalah dengan kandungan dan merancang bersalin normal, mereka perlu tahu serba sedikit mengenai pembedahan jika berlaku kejadian tidak dijangka, kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Noor Fidak Samsudin.

Pembedahan bersalin boleh dilakukan ketika kandungan berusia 38 minggu (bayi dalam kandungan cukup matang). Bagaimanapun, seseorang wanita boleh bersalin dua minggu awal atau dua minggu lewat, tertakluk kepada keadaan setiap individu. Sebelum pembedahan, wanita disyaratkan berpuasa sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam.

Pembedahan bersalin boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

a. Elektif — Pembedahan dirancang dari awal. Antara perkara menyebabkan pembedahan ialah:

# Masalah plasenta previa iaitu kedudukan uri di bawah rahim, berhampiran saluran kelahiran yang boleh mengakibatkan wanita bersalin awal atau berlaku pendarahan

# Kedudukan bayi songsang atau melintang apabila dekat tarikh bersalin

# Mengandung anak kembar

# Masalah kesihatan yang boleh menjadi buruk jika bersalin normal seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi atau kencing manis yang tidak terkawal

# Ibu mendapat jangkitan yang boleh diberi kepada anak jika bersalin secara normal

# Ibu pernah bersalin secara pembedahan dan berdepan masalah sama; atau apabila doktor bimbang parut pada rahim akibat pembedahan lalu akan pecah atau koyak

# Atas kehendak wanita dan pasangan berdasarkan sebab tertentu. Doktor akan menerangkan kekurangan dan kelebihan bersalin secara bedah. Pembedahan hanya dipersetujui selepas si ibu faham kedudukan sebenar dan sanggup menerima risiko yang mungkin dihadapi

b. Kecemasan

# Proses kelahiran terlalu perlahan atau berhenti

# Bayi lemas

# Wanita menunjukkan tanda bersalin sebelum tarikh yang dijangka

# Bayi menunjukkan tanda tertekan seperti degupan jantung terlalu cepat atau perlahan

# Masalah plasenta (uri) atau tali pusat yang boleh membahayakan bayi

# Bayi terlalu besar untuk dilahirkan secara normal; biasanya berat bayi melebihi empat kilogram

# Kemalangan

Menurut Dr Noor Fidak, wanita yang ada masalah kesihatan perlu memastikan penyakit mereka sentiasa dalam keadaan terkawal sebelum merancang untuk hamil. Ini kerana ketika hamil, penyakit dihidapi lebih ‘terserlah’, contohnya kencing manis dan tekanan darah tinggi.

“Apabila anda disahkan mempunyai kencing manis ketika hamil, risiko untuk bayi menjadi besar adalah tinggi dan jika bayi melebihi empat kilogram, pembedahan perlu dilakukan.

“Ada kalanya doktor perlu menjalankan induksi iaitu memberi ubat bagi merangsang pintu rahim untuk terbuka dan memudahkan kelahiran apabila usia kandungan memasuki 38 hingga 40 minggu.

“Bagi wanita yang ada masalah tekanan darah tinggi yang terkawal, biasanya mereka diberi induksi apabila kandungan cukup 38 minggu.

“Sebaliknya, jika tekanan darah tinggi tidak terkawal (terlalu tinggi) dan si ibu dilihat hampir mengalami sawan, dia perlu segera dibedah bagi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi,” katanya.

Mengalami kencing manis ketika hamil adalah petanda kurang baik. Biasanya doktor membuat pengesahan semula selepas tamat tempoh berpantang dan jika wanita berkenaan tidak menjaga kesihatan dengan baik, peluang menghidap kencing manis adalah tinggi selepas bersalin.

“Wanita yang hamil selepas berumur 40 tahun ke atas mempunyai banyak masalah kesihatan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau sakit jantung dan jarak dengan kehamilan terakhir agak jauh, maka risiko bersalin secara pembedahan adalah tinggi walaupun anak terdahulu dilahirkan secara normal.

“Banyak juga kes wanita yang dijadualkan bersalin normal tetapi perlu menjalani pembedahan kecemasan pada saat akhir. Ini berlaku apabila uri tersangkut atau tersekat, bayi terlalu besar, bayi dalam kedudukan songsang, air ketuban pecah atau bayi buang air besar.

Najis bayi boleh menyebabkan keracunan dan bayi boleh mengalami komplikasi atau meninggal dunia jika tidak dibedah segera.

“Selain itu, jika seseorang wanita mengalami kontraksi tetapi pembukaan pintu rahim terlalu perlahan atau terhenti dalam tempoh empat jam sedangkan ketuban pecah, pembedahan perlu dilakukan segera kerana bimbang bayi lemas.

“Namun biasanya doktor memberi tempoh satu jam untuk pintu rahim terbuka sepenuhnya iaitu seluas 10 sentimeter. Sebaliknya, jika pintu rahim terbuka penuh tetapi bayi masih tidak dapat dilahirkan secara normal, doktor juga akan menjalankan pembedahan kecemasan,” katanya.

Walaupun secara umumnya doktor menggalakkan wanita bersalin secara normal tetapi dalam keadaan tertentu wanita disaran bersalin secara pembedahan, khususnya jika mengandung anak kembar dan kandungan diperoleh melalui kaedah persenyawaan in-vitro (IVF).

Bagaimanapun, kata Dr Noor Fidak, keputusan akhir tertakluk kepada kedudukan bayi pada hari bersalin.

Jika bayi pertama dalam kedudukan normal iaitu kepala di bawah, si ibu boleh bersalin secara normal walaupun bayi kedua dalam kedudukan songsang atau melintang.

Ini kerana selepas bayi pertama dilahirkan, bayi kedua mempunyai banyak ruang untuk dibetulkan kedudukannya dan ditarik keluar.

Jika bayi pertama dalam kedudukan songsang atau melintang, maka perlu dibedah.

Komplikasi bersalin secara bedah

Meskipun mempunyai kemudahan perubatan moden dan pembedahan adalah selamat, ia masih ada risiko komplikasi. Antara komplikasi yang mungkin dialami ibu ialah:

# Kesan ubat bius (terutama yang menerima bius penuh atau menyeluruh)

# Risiko berlebihan ubat bius (biasanya pada wanita terlalu gemuk yang diberi bius menyeluruh)

# Jangkitan pada luka pembedahan

# Luka pada organ bersebelahan rahim

# Kehilangan banyak darah

# Mual, muntah dan sakit kepala (disebabkan penggunaan ubat bius dan prosedur pembedahan)

# Luka lambat sembuh

# Risiko bekas luka pada rahim pecah pada kehamilan seterusnya

# Kematian (jarang berlaku. Bagi pembedahan yang dirancang, kadar kematian sangat rendah iaitu hanya enam dalam 100,000 pembedahan; manakala kematian akibat pembedahan kecemasan lebih tinggi iaitu 18 dalam 100,000 pembedahan bersalin)

# Mengehadkan saiz keluarga. Biasanya doktor hanya membenarkan seseorang wanita bersalin secara pembedahan tiga kali. Bagaimanapun, ada juga kes wanita dibenarkan mempunyai anak melebihi empat atau lima melalui pembedahan) jika dia menjaga kesihatannya dengan baik. Namun kes begini sangat jarang berlaku.

Ini untuk mengurangkan risiko parut pada rahim pecah. Apabila dibedah, dinding rahim ditoreh bagi membolehkan bayi dikeluarkan.

Luka meninggalkan parut. Bahagian berparut agak lemah dan boleh pecah. Sebab itu anda perlu memberitahu doktor jika pernah bersalin secara bedah apabila mengandung lagi.

Risiko pada bayi:

# Kecederaan ketika dilahirkan

# Perlukan penjagaan khas di unit penjagaan rapi

# Paru-paru tidak matang (disebabkan kesilapan pengiraan tarikh jangkaan kelahiran)

# Bayi tidak mendapat perlindungan yang diperoleh melalui bersalin normal

Pun begitu, bersalin secara bedah juga ada kelebihannya, iaitu wanita kurang berisiko mengalami masalah prolaps (rahim jatuh) dan tiada luka pada pintu rahim.

Penjagaan

Biasanya seseorang wanita dibenarkan balik ke rumah selepas tiga hingga lima hari dibedah. Kebanyakan wanita mengambil masa sekurang-kurangnya empat minggu untuk sembuh sepenuhnya.

Bagi wanita bersalin normal, biasanya mereka dibenarkan balik pada hari pertama atau kedua selepas bersalin dan kembali meneruskan rutin hariannya selepas dua minggu.

Bagi masyarakat kita, wanita akan berpantang selama 44 hari untuk memastikan luka bersalin benar-benar sembuh dan kembali bertenaga.

Dr Noor Fidak berkata, bersalin secara pembedahan memerlukan lebih penjagaan berbanding bersalin normal. Wanita perlu banyak berehat untuk mempercepatkan proses penyembuhan, tetapi ini bukan bermakna mereka boleh duduk goyang kaki sepanjang masa.

Wanita perlu berehat daripada melakukan kerja berat, tetapi pada masa sama kena banyak bergerak seperti berjalan di dalam rumah.

“Lebih banyak anda bergerak dan berjalan, luka pembedahan lebih cepat sembuh kerana ia merangsang aliran darah ke seluruh badan, termasuk di perut. Selain itu, jangan angkat barang berat, benda paling berat yang boleh diangkat ialah bayi.

“Boleh juga memakai bengkung ringkas untuk memberi sokongan kepada tulang belakang dan pinggul. Namun jangan pakai terlalu ketat sehingga boleh mengganggu aliran darah.

Lapik sehelai kain kapas di bawah bengkung untuk menyerap peluh dan mengelak jangkitan. Untuk pembedahan lain pun, wanita boleh pakai bengkung bagi merapatkan luka,” katanya.

Selain itu, perhatikan jika ada jangkitan (nanah) dan jika ada, segera ke klinik atau hospital untuk dibersihkan.

Wanita juga digalak menyusukan bayi secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan kerana proses ini juga boleh membantu mengecutkan rahim dan mengeratkan hubungan ibu dan anak.

“Menyusukan anak juga boleh menjarakkan kehamilan. Sebaik-baiknya jarakkan kehamilan kepada dua tahun tetapi jika mengejar masa, terutama bagi wanita berusia, anda boleh hamil setahun kemudian, tetapi dengan syarat anda perlu menjaga kesihatan dengan baik.

“Satu perkara penting yang perlu diingat ialah jangan ambil ubat sepanjang sembilan bulan hamil tanpa kebenaran doktor untuk mengelak kesan sampingan kepada bayi dalam kandungan dan komplikasi ketika bersalin.

“Jangan perjudikan nasib bayi dan diri sendiri dengan mana-mana ubat, termasuk persediaan tradisional atau alternatif walaupun didakwa ada banyak manfaat,” katanya.

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Teka-Teki Imam Al-Ghazali

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (teka-teki);

Imam Ghazali = “Apakah yang paling dekat dengan kita di dunia ini?”
Murid 1 = “Orang tua”
Murid 2 = “Guru”
Murid 3 = “Teman”
Murid 4 = “Kaum kerabat”
Imam Ghazali = “semua jawapan itu benar, tetapi yang paling dekat dengan kta ialah MATI. Sebab itu janji Allah S.W.T bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati” (Surah Ali-Imran :185)

Imam Ghazali = “Apakah yang paling jauh dari kita di dunia ini?”
Murid 1 = “China”
Murid 2 = “Bulan”
Murid 3 = “Bintang”
Murid 4 = “Matahari”
Imam Ghazali = “semua jawapan itu benar, tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari2 yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama”

Imam Ghazali = “Apakah yang paling besar didunia ini?”
Murid 1 = “Gunung”
Murid 2 = “Matahari”
Murid 3 = “Bumi”
Imam Ghazali = “semua jawapan itu benar, tetapi yang paling besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al-A’raf:179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka”

Imam Ghazali = “Apakah yang paling berat didunia?”
Murid 1 = “Baja”
Murid 2 = “Besi”
Murid 3 = “Gajah”
Imam Ghazali = “semua jawapan itu benar, tetapi yang paling berat sekali adalah MEMEGANG AMANAH (Surah al-Azab:72. Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah S.W.T meminta mereka menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah S.W.T sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah”

Imam Ghazali = “Apakah yang paling ringan di dunia ini?”
Murid 1 = “Kapas”
Murid 2 = “Angin”
Murid 3 = “Debu”
Murid 4 = “Daun-daun”
Imam Ghazali = “semua jawapan itu benar, tetapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat”

Imam Ghazali = “Apakah yang paling tajam sekali di dunia ini?”
Murid-murid dengan serentak menjawab = “Mata pedang!!!”
Imam Ghazali = “semua jawapan itu benar, tetapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri”

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print
Related Posts with Thumbnails

Sekapur Sirih


Salam...Selamat Datang Ke Blog Sagasama ...Ini Merupakan Sambungan Daripada Blog Yang Lama ( blogsagasama.blogspot.com ) Kerana Blog Yang Lama Sudah Terdelete Secara Tidak Sengaja...Semoga Sahabat Sekelian Mendapat Manfaat Dari Blog Ini...

Email dan YM Admin : sagasue@yahoo.com

ADMIN : TIDAK ON LINE





free counter