DALAM Islam setiap orang bertanggungjawab sepenuhnya apabila mencapai umur baligh. Beliau digelar mukallaf atau orang yang menerima sepenuhnya tanggungjawab terhadap suruhan dan larangan agama.
Bagi lelaki dan perempuan yang berkahwin dan bergelar suami isteri, kedua-duanya juga mempunyai tanggungjawab masing-masing.
Suami bertanggungjawab memberikan nafkah serta tempat tinggal kepada isteri dan anak-anak. Suami juga bertanggungjawab membimbing mereka kepada keredaan Allah.
Isteri bertanggungjawab mematuhi suami dan melayan kehendaknya, memberi kasih sayang sepenuhnya kepada suami dan anak-anak, menjaga kebersihan diri, anak-anak dan rumahtangga, malah sentiasa mendapatkan keizinan suami apabila hendak meninggalkan rumah.
Sebagai seorang isteri, tentu yang lebih utama ialah suami berbanding dengan anak-anak. Ini kerana suami adalah ketua keluarga dan bapa kepada anak-anak.
Bagaimanapun, seorang suami hendaklah memahami bahawa seorang isteri juga seorang ibu yang bertanggungjawab kepada anak-anak.
Lazimnya tanggungjawab mendidik anak dipikul bersama antara suami isteri. Seorang ibu biasanya bersifat kasih sayang kepada anak-anak, manakala bapa mendisiplinkan anak-anak. Jangan pula timbul isteri melebihi anak daripada suaminya sehingga menjadi punca konflik dalam rumahtangga.
Dalam institusi perkahwinan Islam, seorang isteri yang berkahwin lain tidak lagi berhak menjaga anak sepenuhnya, kecuali mendapat keizinan bekas suami dan suami semasa. Anak-anaknya hendaklah dijaga ibu sendiri atau bekas suaminya. Ini menunjukkan bahawa isteri perlu mengutamakan suami daripada anak-anak sendiri.
0 comments