Kategori

Isi Kandungan

Followers

Promosi Blog Anda

Daftarkan Blog Anda Disini...Percuma

Peranan Menantu Mentua

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Friday, September 15, 2000 0 comments

MEWUJUDKAN sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni memang impian setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, harus diingat bahawa keharmonian turut membabitkan hubungan mesra dengan keluarga isteri atau suami, khususnya ibu dan bapa mentua.

Keserasian dan menjaga hubungan baik dengan mentua bukan saja penting untuk kebahagiaan, tetapi turut menjadi tanggungjawab besar kepada seseorang yang sudah bergelar suami atau isteri dalam mengekalkan ikatan kasih sayang keluarga.

Mungkin bagi sesetengah orang, mentua sering kali dianggap menjadi penyebab timbulnya konflik dalam rumah tangga. Bagaimanapun, fikiran negatif seumpama itu harus dikikis kerana tidak semua sebegitu, sebaliknya ada mentua boleh menjadi sahabat paling akrab dan benar-benar membantu dalam rumah tangga.

Tidak semua mentua bersikap negatif yang boleh mencetuskan kegoyahan rumah tangga, sebaliknya ada yang bersikap positif seperti bertolak ansur dan memahami. Dengan adanya pengalaman, mentua ada kala mampu menjernihkan rumah tangga anak menantu yang sedang berkocak.

Malah, ada mentua bukan saja bertindak sebagai penasihat, tetapi tidak pernah membezakan kasih sayang antara anak menantu yang lain.

Memang ada mentua yang cuba campur tangan rumah tangga menantu seperti menghasut, memandang kecil kepada menantu dan sebagainya. Sehinggakan, ada mentua yang hanya sayangkan cucu saja sedangkan menantu langsung tidak pandang. Tetapi kadang-kadang menantu juga ada buat salah.

Konflik atau hubungan yang tidak baik antara mentua dan menantu dikatakan semakin memuncak apabila mereka tinggal serumah. Meskipun hari ini jarang anak menantu dan mentua memilih tidak tinggal serumah, konflik rumah tangga akibat campur tangan mentua masih tetap berlaku.

Konflik hubungan antara menantu dan mentua bukan saja berlaku pada zaman dulu, tetapi juga sekarang. Bagaimanapun, jika menantu atau mentua memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing, sebarang konflik rumah tangga yang boleh membawa kepada perceraian tidak akan timbul. Paling penting, apabila berlaku konflik perlulah bertenang dulu dan jangan mendengar sebelah pihak saja kerana masing-masing ada kelemahan.

Lazimnya apabila bakal menantu tidak mampu menjalin hubungan yang baik dengan bakal mentua sebelum berkahwin, keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan hubungan dingin antara mereka berterusan.

Sedangkan, hakikat yang perlu diterima seseorang sebaik saja diijab kabul, tanggungjawab dan peranan semakin bertambah. Justeru, sebagai menantu, ada baiknya jika hubungan baik dengan bakal mentua dibina sejak awal iaitu sebelum berumah tangga lagi.

Kalau dulu hanya sebagai kekasih, tetapi kini sebagai suami atau isteri yang sah. Pasangan sebenarnya bukan hanya berkahwin dengan lelaki atau wanita yang dicintai, bahkan seluruh anggota keluarganya.

Untuk memastikan adanya ikatan mesra sejak awal, ada baiknya pasangan berkenaan mencari sebanyak mungkin maklumat mengenai keluarga suami, ibu bapa atau adik beradiknya. Apabila berkahwin kelak, menantu turut digalakkan untuk bertanya khabar dengan mentua dari perkara kecil seperti apa yang dilakukan hari ini dan sebagainya.

Sebagai menantu juga kita perlu pandai mengambil hati. Anggaplah mentua seperti ibu bapa kandung sendiri. Mentua juga perlu mendapat layanan dan kasih sayang sama rata seperti mereka. Contoh paling mudah jika kita membeli barang kepada ibu kandung kita sendiri, mengapa tidak kita membeli barang yang sama kepada mentua.

Bagi anak pula, dinasihatkan supaya tidak lupakan tanggungjawab kepada orang tua walaupun selepas berkahwin. Selain itu, anak juga tidak boleh terlalu berkira dengan ibu bapa misalnya, jika duduk serumah janganlah asyik merungut kerana sikap seperti itu boleh menyebabkan orang tua tersinggung.

Kesimpulannya, tiada perselisihan yang tiada jalan penyelesaian. Setiap orang ada melakukan kesilapan, tetapi penyelesaian kepada masalah itu bergantung kepada setiap individu termasuklah konflik antara mentua dan menantu.

Peranan menantu yang positif dan mampu menjalinkan hubungan baik dengan mentua:

1. Hormat dan selalu bertanyakan khabar.

2. Jangan dengar hasutan.

3. Jangan berat sebelah.

4. Pandai ambil hati dan bukan menyakitkan hati.

5. Jangan lekas mengadu.

Peranan negatif mentua terhadap menantu yang boleh menimbulkan konflik:

1. Suka adu dombakan keluarga termasuk ipar duai.

2. Menghasut suami/isteri sehingga menerbitkan perasaan serba salah kepada pasangan.

3. Berpura-pura baik dan tidak ikhlas menyayangi serta menghormati mentua.

4. Sentiasa mendahulukan orang lain daripada mengutamakan menantu.

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

DahagakanKasihAyah

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


Amin terjaga daripada tidurnya apabila menyedari tombol pintu rumah diputar. Jelas kelihatan wajah ayahnya yang lesu dan letih kerana bekerja seharian. Sudah hampir 3 jam dia terlena di atas sofa ruang tamu kerana menunggu kepulangan insan yang amat dirinduinya itu. Setelah meletakkan kasut di dalam rak, Encik Rashid menyedari dirinya diperhatikan. Dia agak terkejut kerana mendapati Amin masih belum tidur. Dia menghampiri tubuh kecil anaknya yang baru berusia 7 tahun itu dan melabuhkan punggungnya di sebelah Amin sambil mengusap lembut rambut anaknya.
"Kenapa anak ayah tak tidur lagi ni? Esokkan nak sekolah."

Pertanyaan Encik Rashid memecah kesunyian malam itu. Amin menatap wajah ayahnya. Raut sayu wajahnya sedikit menyentuh hati si ayah.
"Kenapa anak ayah ni? Ada masalah ke?"

Amin hanya diam membatu dan hanya mencebik.
"Dah la. Pergi masuk tidur. Esok nak bangun awal."

Amin bangun dan berjalan perlahan menuju ke arah biliknya. Walaupun Encik Rashid menyedari anaknya seperti mempunyai masalah, dia tidak terus bertanya kerana dia sendiri pun letih. Langkah Amin terhenti tiba-tiba dan dia terus menoleh ke arah ayahnya.
"Ayah,Amin tanya sikit boleh?"

Encik Rashid tersenyum dengan tingkah anaknya.
"Ada apa sayang ayah?" tanya Encik Rashid dengan lembut.



"Berapa pendapatan ayah sejam?"



Tiba-tiba dahi Encik Rashid berkerut. Dia agak terkejut dengan pertanyaan anaknya itu.
"Kenapa nak tahu? Dah, pergi masuk tidur."

Suara si ayah sedikit menengking.
"Ala ayah, bagitahu la Amin berapa gaji ayah sejam bekerja di pejabat."

Amin masih merayu ingin mendapatkan jawapan.
"RM 20 sejam, kenapa nak tahu?"

Amin hanya terdiam memandang lantai. Dia kembali menatap wajah ayahnya dan bertanya.
"Ayah, boleh Amin pinjam RM 10?"

Pertanyaan Amin membuatkan Encik Rashid mengeluh.
"Oh, itu yang sebenarnya nak dari ayah. Nak buat apa dengan RM 10? Nak beli barang mainan lagi? Jangan membazir. Ayah cari duit penat-penat. Bukan nak membazir sebarangan. Dah, sekarang pergi tidur."

Kanak-kanak berusia 7 tahun itu terdiam dan perlahan melangkah menuju ke bilik tidurnya semula. Si ayah pula memikirkan mengapa si anak sekecil itu meminta wang sebanyak itu daripadanya. Dengan perasaan serba salah, Encik Rashid melangkah menuju ke bilik anaknya. Pintu bilik dibuka dan dia mendapati yang anaknya masih belum tidur. Dia menghampiri anaknya yang sedang menarik selimut menutup badan.
"Kalau kamu betul-betul memerlukan wang, nah ambil ni!"

Encik Rashid menyerahkan wang RM 10 kepada Amin. Amin tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Sebelum sempat Encik Rashid melangkah keluar, Amin memanggilnya kembali. Dia menoleh dan memandang wajah anaknya dengan perasaan sedikit geram.
"Nak apa lagi?" tengking Encik Rashid.

Amin terkejut dengan suara ayahnya. Kemudian si anak tercari-cari sesuatu di bawah bantalnya dan mengeluarkan sekeping not RM 10 yang sudah renyuk. Si ayah kembali berang dengan sikap anaknya.
"Dah ada kenapa minta lagi? Dan dari mana kamu dapat duit tu?"
lenting Encik Amir kepada anaknya yang sedang menuju ke arahnya.



Amir memandang ayahnya.
"Duit ni Amir kumpul dari belanja sekolah yang ayah bagi setiap hari. Amir minta lagi sebab duit ni masih tak cukup."

Si anak menerangkan kepada ayahnya. Encik Rashid masih tidak berpuas hati.
"Tak cukup nak beli apa? Amir jangan beli benda yang bukan-bukan."

Suara Encik Rashid lebih tinggi kali ini. Amir hanya tunduk kerana tidak berani memandang wajah ayahnya.
"Sekarang Amir ada RM 20. Ayah ambillah duit ni. Amir nak beli sejam daripada masa ayah. Amir nak ayah balik awal esok. Amir rindu nak makan malam dengan ayah."

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Tidaj Jatuh Maruah Akui Kesalahan Sendiri

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments

ASAS kebahagiaan rumah tangga bermula ketika proses memilih pasangan. Islam menganjurkan agar memilih pasangan salih dan mempunyai peribadi yang mulia agar pembentukan rumah tangga bahagia dapat dinikmati sehingga ke akhir hayat.

Sikap memilih pasangan berdasarkan kepada kecantikan, harta, keturunan dan pangkat, tanpa melihat kepada agama dan akhlaknya adalah punca kegagalan hidup berkeluarga.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan apabila engkau melihatnya, mematuhi perintah engkau, mematuhi janji dan menjaga maruah dan harta ketika ketiadaan engkau.” (Hadis riwayat Nasai).

Malang sekali, muda mudi sekarang lebih menurut kata hati dan nafsu dalam soal memilih pasangan hidup. Mereka hanya menyedari pasangan yang dipilih itu tidak serasi dan banyak menimbulkan masalah selepas hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.

Sesudah mendirikan rumah tangga, tiada pilihan lagi bagi suami atau isteri, melainkan meneruskan kehidupan berkeluarga, biarpun disedari tersalah membuat pilihan pasangan.

Kesilapan dan kekurangan boleh diperbaiki jika suami bijak mengendalikan masalah yang timbul. Suami perlu meletakkan perjalanan hidup berumah tangga pada landasan yang ditetapkan agama. Justeru, dalam hal ini amat penting suami mempunyai pengetahuan agama yang mendalam.

Sikap suami sengaja menyalahkan isteri jika kehidupan keluarga tidak bahagia perlu diperbetulkan. Serentak dengan itu suami mulalah pula hendak berpoligami sebagai jalan mencari kebahagiaan dengan isteri lain.

Suami mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dalam memastikan kerukunan rumah tangga berterusan. Pengorbanan dan sikap tolak ansur suami tidak seharusnya ke tahap dipandang dayus sehingga sanggup mengikut telunjuk isteri. Apa yang salah perlu diperbetulkan dengan berhemah.

Dalam banyak situasi, keegoan suami sering menyebabkan isteri memendam rasa tidak merasakan dirinya juga berhak bersuara. Teguran dan suara isteri tidak diendahkan oleh suami yang beranggapan sebagai ketua keluarga berhak melakukan apa saja yang diingini.

Sikap terlalu banyak bersabar dan memendam akhirnya menimbulkan konflik dalam jiwa isteri. Keadaan ini boleh menyebabkan isteri memberontak dan membawa kepada keadaan tidak boleh dikawal lagi.

Sebab itu ada isteri yang menduakan suami. Mereka menjalin hubungan dengan lelaki lain yang dapat mendengar rintihan hati atau sesuatu yang tidak dipeduli suami. Lebih parah, hubungan itu melarat kepada zina.

Isteri sebenarnya mempunyai hak untuk bersuara memberikan pendapat atau meminta apa-apa yang layak baginya sebagai seorang isteri seperti ditetapkan syarak. Suami tidak boleh bersifat autokratik atau ingin menggunakan kuasa sepenuhnya.

Memandangkan sekarang ini banyak isteri mempunyai kerjaya yang baik, bahkan lebih baik berbanding suami, suami yang tidak bertanggungjawab menyerahkan tugas menyara keluarga ke bahu isteri.

Malah, ada suami bertindak memeras wang isteri untuk kegunaan mendatangkan mudarat seperti berjudi, menagih dadah dan melanggan pelacur. Jika isteri enggan menyerahkan wang, padah buruk akan menimpa diri. Suami seperti ini lebih layak dipanggil perompak.

Tidak jatuh maruah suami jika mengaku kesalahan yang dilakukan. Itulah jalan sebaik-baiknya untuk mengekalkan kebahagiaan hidup berkeluarga. Mengaku kesalahan bertujuan untuk diambil tindakan memperbetulkan.

Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya jika dilakukan dengan niat ingin mencari kebahagiaan. Allah sentiasa bersama-sama dengan hamba-Nya yang sabar dan mengharapkan kebahagiaan hidup.

Langkah pertama ialah menasihati isteri agar mengubah sikap yang mendatangkan masalah itu. Nasihat itu harus diberi dengan tutur kata yang lembut dan berkesan.

Ini penting bagi menjamin isteri tidak berasakan seperti dihukum terhadap apa yang dilakukan. Hati perempuan mudah tersentuh dan tidak dapat menerima teguran yang dilakukan dengan suara kuat.

Elok ketika memberi nasihat tidak menyebut berulang-ulang kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya, berilah peluang untuk berfikir dan menyedari kesalahan yang dilakukan.

Sebaliknya, jika sudah diberi nasihat, isteri masih tidak berubah, bahkan mungkin semakin buruk tindakannya, maka wajarlah tindakan lebih tegas dilakukan.

Antara perkara dilakukan secara berperingkat-peringkat ialah meninggalkan tempat tidur, kemudian jika masih tidak berhasil, maka pukul dengan pukulan yang tidak mencederakan.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan isteri-isteri yang kamu curiga atau bimbing berlaku nusyuznya (derhaka), maka hendaklah kamu (suami) menasihati mereka, dan jika mereka berdegil, tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika masih berdegil juga pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak mencederakan) kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Surah an-Nisa, ayat 34).

Kebenaran memukul isteri bukan bermakna Islam membenarkan kekerasan dilakukan dalam rumah tangga. Sebaliknya, kebenaran itu berdasarkan kepada niat untuk memberi satu pengajaran atau menakutkan isteri supaya tidak lagi berani melakukan kesalahan yang sebelum ini dinasihati oleh suami agar tidak dilakukan.

Untuk mencapai matlamat ini, maka ketika suami ingin memukul isteri, mestilah suami dalam keadaan tenang dan waras. Ini bagi mengelak daripada niat baik ingin mencari pengajaran bertukar menjadi satu bencana apabila pukulan itu dilakukan berlebih-lebihan sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada isteri.

Sesungguhnya Islam amat mementingkan matlamat mengekalkan hubungan suami isteri, maka itu perceraian bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Suami dinasihatkan mengelak diri daripada memikirkan soal talak agar tidak mudah mengambil keputusan ke arah itu.

Talak bukan boleh dibuat mudah. Sebab itu ia menjadi perkara terakhir dalam soal rumah tangga. Perkara halal yang mesti dijauhi oleh setiap suami isteri ialah talak.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print
Related Posts with Thumbnails

Sekapur Sirih


Salam...Selamat Datang Ke Blog Sagasama ...Ini Merupakan Sambungan Daripada Blog Yang Lama ( blogsagasama.blogspot.com ) Kerana Blog Yang Lama Sudah Terdelete Secara Tidak Sengaja...Semoga Sahabat Sekelian Mendapat Manfaat Dari Blog Ini...

Email dan YM Admin : sagasue@yahoo.com

ADMIN : TIDAK ON LINE





free counter