Kategori

Isi Kandungan

Followers

Promosi Blog Anda

Daftarkan Blog Anda Disini...Percuma

Kebanyakan Penghuni Syurga Dan Penghuni Neraka

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Thursday, August 27, 2009 2 comments

"Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita ." Diriwayatkan oleh al-Bukhari.

Tujuannya:

Rasulullah s.a.w telah diperlihatkan Allah gambaran syurga dan neraka, dan ia dapati bahawa penghuni syurga yang paling ramai adalah terdiri dari golongan orang-orang miskin atau orang-orang yang tidak berharta, sedangkan penghuni neraka yang paling ramai adalah terdiri daripada kaum wanita. Jika hadis ini ditilik dari permukaannya yang lahir sahaja tentulah timbul kemusykilan- kemusykilan tertentu apakah Islam memandang kemiskinan itu sebagai satu kelebihan dan kekayaan sebagai satu penghalang yang boleh menjauhkan seseorang itu dari syurga ? Apakah istilah memandang rendah kepada kaum wanita hingga kebanyakkan mereka menjadi penghuni neraka ? Apakah kaum wanita lebih banyak melakukan maksiat dari kaum lelaki ?

Untuk memahami maksud yang sebenar dari hadis ini perlulah dirujukkan kepada nas-nas lain yang bersangkutan dengan pandangan umum Islam terhadap kekayaan dan kemiskinan, juga pandangan umum Islam terhadap kaum lelaki dan kaum wanita.

Menurut Islam merupakan nikmat dan rahmat yang dikurniai Allah kepada manusia, kerana itulah memohon " rezeki yang luas " merupakan isi utama doa-doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya termasuk doa " " yang dibaca berkali-kali setiap rakaat sembahyang, tetapi kekayaan itu sendiri bukanlah merupakan satu kelebihan kecuali ia dibelanjakan kepada jalan Allah, sedangkan kemiskinan pula menurut pandangan Islam merupakan cabaran dan ujian terhadap ketabahan dan kesabaran seseorang mukmin, kerana itu kemiskinan itu sendiri bukan sekali-kali merupakan kelebihan yang secara automatis melayakan seseorang mukmin untuk menduduki syurga, malah pastilah digandingkan dengan sikap sabar, takwa dan amalan-amalan yang soleh.

Bertolak dari pengertian ini ternyata bahawa yang dimaksudkan dengan "orang-orang yang miskin " yang disebut oleh Rasulullah s.a.w itu ialah orang-orang miskin yang soleh dan bertaqwa bukanlah semata-mata orang miskin, kerana kemiskinan semata-mata kadang-kadang merupakan satu bala yang boleh membawa seseorang kepada kekufuran dan kejahatan. Apabila tekanan kemiskinan itu tidak dapat disabari oleh seseorang ia mungkin menjadi manuisa yang berkecil hati dan bersikap membantah terhadap Allah dan ini bukan sahaja menjerumuskannya ke dalam kekufuran, malah mencetuskan dalam hatinya perasaan hasad dengki dan dendam kesumat terhadap manusia sekelilingnya yang lebih bernasib baik darinya, dan akibatnya ia mungkin terlibat dalam perlakuan - perlakuan jenayah dan kekejaman-kekejaman untuk meluahkan dendam. Inilah maksud sabda Rasulullah s.a.w :

" Kemiskinan itu hampir-hampir membawa seseorang itu kepada kekufuran "

Kerana itu, pada hemat kami, tidaklah wajar jika ada pihak-pihak yang tertentu mahu menjadikan hadis ( 29 ) ini sebagai alasan bahawa Islam menggalakan umatnya supaya menjadi miskin atau memandang kemiskinan itu sebagai satu kelebihan yang melayakan seseorang itu mewarisi syurga di Akhirat. Al- Quran dengan tegasnya menetapkan bahawa syurga itu adalah dicapai dengan taqwa dan amalan-amalan yang soleh bukannya dicapai dengan semata kemiskinan firman Allah Taala :

" Itulah syurga yang Kami warisi dengan kelebihan amalan-amalan kamu." Al- 'Araf ( 43 ).

Dan firman-Nya lagi :

" Itulah syurga yang Kami warisikannya kepada orang-orang yang bertaqwa di antara hamba-hamba Kami." Maryam ( 63 )

Sifat kehidupan seseorang muslim yang digariskan Allah adalah penuh dengan kegiatan - kegiatan amalan ibadat dan kebajikan yang memerlukan kepada kewangan yang banyak seperti zakat, ibadat haji, berjihad menegakkan agama Allah, menolong fakir miskin, kaum kerabat, jiran tetangga menyediakan mas kahwin, menanggung nafkah isteri dan anak pinak, mengadakan kenduri akikah, berkorban di hari raya, berderma untuk sabilillah dan sebagainya dari ibadat-ibadat kebajikan yang bertunjangkan kepada kewangan. Di dalam al-Quran dan As- Sunah penuh denga anjuran-anjuran agar setiap orang muslim yang berada supaya menginfaq atau membelanjakan harta mereka ke jalan kebajikan dan itulah perlaburan hakiki untuk masa depan hari akhirat dan itulah keuntungan abadi yang disediakan Allah. Firman Allah :

" Orang-orang yang menyimpan emas dan perak, sedangkan mereka tidak membelanjakannya ke jalan Allah, maka sampaikan berita kepada mereka bahawa mereka akan mendapat keseksaan yang pedih ." At-Taubat ( 34 )

" Dan belanjakan harta bendamu pada jalan Allah dan janganlah kamu campakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, berbuatlah kebaikan kerana Allah amat menyayangi orang-orang yang berbuat kebaikan." Al-Baqarah ( 195 )

" Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenarnya orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul - Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka ke jalan Allah, merekalah orang-orang yang benar-benar beriman." Al- Hujurat ( 15 ).

Bertolak dari hakikat ini ternyatalah bahawa "orang- orang yang miskin ," yang terutama yang dimaksudkan oleh hadis itu ialah orang-orang yang menjadi miskin sebagai akibat dari penglibatan mereka di dalam kegiatan-kegiatan infaq dan jihad fisabilillah, bukannya semata - mata orang miskin, apatah lagi mereka yang miskin akibat malas dan kurang berusaha.

Kerana itu Ibn Battal dalam kitab " al- Fath " dengan tegas menyarankan bahawa kemasukan ramai orang-orang miskin ke dalam syurga itu bukanlah kerana kemiskinannya, malah kerana kesolehan di samping kemiskinan, sebab orang yang miskin yang tidak soleh itu tidak mempunyai apa-apa kelebihan sementara al- Alamah al- Syeikh Mansyur Ali Nasar berkata dalam kitabnya " at- Taaj". Kelebihan orang-orang miskin ( yang banyak masuk syurga ) itu bukanlah kerana kemiskinan, malah kerana kesabaran, taqwa dan amalan-amalan mereka yang soleh yang biasanya menyebabkan mereka menjadi miskin.

Apa yang dikatakan oleh al- Syeikh Mansyur itu memang merupakan satu kenyataan yang lumrah dalam kehidupan pemimpin-pemimpin, pejuang-pejuang, ' ulama'- 'ulama' dan para solehin Islam. Mereka menjadi miskin bukanlah kerana kurang usaha tetapi kerana mreka sentiasa mengorbankan harta benda mereka ke jalan Allah dan kerana mereka menumpu sepenuh masa mereka kepada kegiatan dakwah dan jihad fisabilillah, dan seterusnya kerana mereka lebih mementingkan kebajikan orang lain dari kebajikan diri mereka sendiri.

Oleh itu jika terdapat hadis-hadis yang lain yang pada lahirnya seolah-olah memuji atau memandang tinggi kepada kemiskinan, haruslah diruju'kan kepada hakikat kemiskinan yang terpuji yang telah dijelaskan tadi. Jika tidak, maka hadis-hadis itu akan bertentangan dengan hadis - hadis dan ayat-ayat al-Qur'an yang terang menyarankan kelebihan kekayaan dan kelebihan infaq fisabilillah.

Mengapa orang-orang kaya begitu ramai memasuki neraka? Jawabnya kerana kebanyakan mereka telah menyalahgunakan kekayaan itu di dalam kegiatan-kegiatan maksiat yang dilaknat Allah dan kerana mereka telah ditimpa oleh penyakit-penyakit kekayaan iaitu tamak dan haloba, penting diri, bakhil, takbur, lupa daratan, menindas kaum miskin, tidak memperdulikan halal haram dan meninggalkan infaq fisabilillah.

Tegasnya orang-orang kaya yang ramai memasuki neraka bukanlah kerana kekayaan, malah kerana penyelewengan dan kefasiqan hidup mereka yang dapat dilihat dimana-mana masyarakat merekalah saudagar-saudagar yang memperniagakan segala macam maksiat, merekalah perintis-perintis hiburan, permainan dan pertunjukkan yang haram dan merekalah pendorong dan penggalak di belakang kefasiqan-kefasiqan masyarakat. Mereka menggunakan harta mereka untuk merosak dan membeli dhamir orang-orang yang baik untuk meluluskan maksud-maksud mereka yang jahat, malah mereka menggunakan pengaruh harta mereka untuk memaksa kerajaan untuk melindungi kepentingan- kepentingan mereka.

Kerana tindak-tanduk mereka yang tidak jujur itulah menyebabkan perjalanan mereka ke syurga di halangi oleh berbagai-bagai proses pemeriksaan dan hisab yang menyeksakan mereka. Tersebut dalam sebuah Hadis lain yang seakan-akan Hadis ( 92 ):

Dari Usamah bin Zaid r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda " aku berdiri di pintu syurga, tiba-tiba aku melihat kebanyakan orang yang memasukinya ialah orang-orang miskin, sedangkan hartawan-hartawan telah ditahan, melainkan penghuni-penghuni neraka mereka terus diperintah supaya di humbankan ke dalam nereka, dan aku berdiri di pintu syurga tiba-tiba aku melihat kebanyakan orang memasuki neraka adalah kaum wanita."

Diriwayatkan oleh al- Bukhari dan Muslim.

Menurut al - A'lamah al- Syeikh Mansyur maksud " hartawan-hartawan telah ditahan " ialah orang-orang kaya dan pembesar - pembesar di dunia adalah di tahan untuk menjalani proses pemeriksaan dan hisab, siapa di antara mereka yang di dapati melakukan jenayah, kufur, penyelewengan, dan kejahatan-kejahatan maksiat akan di masukkan ke dalam neraka.

Kelewatan para hartawan yang menyeleweng dari memasuki syurga telah di jelaskan oleh sebuah Hadis yang lain :

" Dari Abi Hurairah r.a Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda : orang-orang Islam yang miskin dapat memasuki syurga sebelum orang-orang kaya terdahulu selama setengah hari ( waktu akhirat ) bersamaan 500 tahun ( waktu dunia ). "

Mengapa kebanyakan penghuni neraka terdiri daripada kaum wanita ?

Sebabnya sudah tentu bukan kerana mereka jenis wanita.

Pada prinsipnya kaum lelaki dan wanita sama saja di sisi Allah : di sana tiada sebarang diskriminasi pahala dan dosa dan dilandaskan di atas jenis. Siapa yang lebih bertaqwa dialah yang lebih tinggi di sisi Allah. Oleh itu Hadis ini sama sekali tidak bertujuan untuk menyarankan bahawa kaum wanita itu lebih rendah darjatnya dari kaum lelaki sebagaimana yang mungkin difaham dari tinjauan sekilas.

Mungkin sebabnya terletak pada faktor jumlah kaum wanita di dunia adalah melebihi jumlah kaum lelaki sebagaimana yang dibuktikan oleh perangkaan penduduk dunia dari dahulu hingga sekarang, oleh itu tidaklah menakjubkan jika bilangan mereka yang menjadi penghuni neraka adalah lebih besar dari kaum lelaki, apatah lagi jika ditinjau bahawa jumlah manusia kafir dan masyarakat di dunia di sepanjang zaman adalah jauh lebih ramai dari manusia mukmin. Hakikat ini telah dikuatkan pula oleh kenyataan Hadis bahawa kaum perempuan adalah lebih ramai dari kaum lelaki.

Mungkin sebabnya yang hakiki terletak pada penyelewengan dan penyalahgunaan pengaruh dan sifat-sifat kewanitaan dan akibatnya menyebabkan kaum lelaki terjerumus di dalam perangkap-perangkap kejahatan, kefasiqan dan jenayah. Ahli jiwa sepakat mengakui bahawa pengaruh seks pada wanita merupakan pengaruh yang amat menjahanam di dalam kehidupan lelaki. Al - Qur'an sendiri telah meletakkan kaum wanita pada barisan pertama dalam kumpulan pendorong-pendorong nafsu keinginan manusia firman- Nya :

" Telah dijadikan kesukaan pada manusia menyintai berbagai-bagai nafsu keinginan iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari emas sawah dan ladang. Itulah kenikmatan hidup di dunia, sedangkan di sisi Allah pula terdapat syurga tempat kembali yang amat indah " Al - 'Im ran ( 14 )

Dari situ ternyatalah bahawa wanita merupakan ujian Allah yang paling bahaya dalam kehidupan lelaki di dunia. Ini di sebabkan kerana tabiat lelaki itu mencari wanita, sedangkan tabiat wanita menunggu dan memancing dengan umpan-umpan yang menjadikan lelaki lupa daratan dan sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan wanita, kerana itu wanitalah lebih mempersonakan lelaki dari lelaki mempersonakan wanita. Hakikat ini telah di jelaskan oleh Rasulullah s.a.w :

" Aku tidak tinggal selepasku ujian lebih bahaya kepada lelaki melainkan wanita."

Muttafaqa ' Alaih

Ujar Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti " Wanita mampu, jika mahu, untuk menjadikan dirinya satu bahaya yang dahsyat kepada lelaki sehingga tidak dapat dihindarinya, dan ia juga boleh menjadikannya dirinya selaku yang boleh membawa lelaki ke jalan yang selamat dan sentosa. "

" Beberapa banyak umat yang agung runtuh akibat pergaulan bebas lepas dan kemusnahan akhlak, dan faktor pokoknya ialah wanita, kerana itu tugas Islam yang paling besar yang di letakkan pada bahu wanita ialah supaya ia menyembunyikan senjata pesona atau seksnya di depan lelaki seberapa yang terdaya olehnnya agar mereka tidak terjerumus ke dalam malapetaka."

" Sebab yang membawa wanita menjadi penghuni neraka yang terbanyak seperti yang tersebut oleh hadis yang soheh itu ialah adalah berbagai-bagai faktor yang terpentingnya ialah mereka tidak mematuhi dengan penuh taqwa dalam melaksanakan tugas agung (menyembunyikan senjata seksnya ) yang diletakkan di atas bahu mereka. "

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Walau Seteguk Air,Sahur Pelihara Kesihatan

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


Amalan bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud : “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”

Sahur adalah satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah ke atas umat Islam. Anjuran bersahur itu dapat dilihat lagi dalam hadis Nabi bermaksud: “Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban) Hadis tadi menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang yang berpuasa walaupun makan atau minum dengan sedikit saja sekalipun dengan hanya seteguk air. Dalam hadis lain, kelebihan ke atas orang yang bersahur itu ialah seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani).

Selain disunatkan bersahur kita juga disunatkan untuk melambatkan waktu bersahur itu kerana amalan itu dilakukan oleh utusan Allah dan sahabat. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya.” Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh. Berkaitan perkara ini, Zaid bin Thabit pernah berkata: “Kami pernah bersahur bersama nabi, kemudian kami bangun untuk melakukan solat (Subuh). Zaid ditanya : “Berapa lama masa antara kedua-duanya (yakni antara makan sahur dan solat Subuh)?” Berkata Zaid: “Sekadar membaca 50 ayat al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari) Dalam kitab Nailul Authar, disebutkan Imam Ibn Abdil Bar berkata bahawa hadis yang menerangkan kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur semuanya bertaraf sahih dan mutawatir. Penekanan Nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi.

Kajian menunjukkan makanan paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi. BBC News pada 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian oleh Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard, mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis. Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang jarang bersarapan pagi.

Hal ini menjadi lebih penting kepada kanak-kanak yang berpuasa. Ini kerana kesan kanak-kanak meninggalkan sarapan pagi adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil. Kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran. Tambahan daripada itu, satu kajian oleh Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, menunjukkan mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.

Justeru, secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur, tidak akan mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian itu. Lebih daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunnah dan waktu sahur juga masa yang dipenuhi keberkatan.



sumber : jqafsksulaiman.blogspot

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Khasiat Kurma

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


Buah kurma atau dalam bahasa Arab, tamar adalah dari jenis palm seperti kelapa sawit sementara buahnya bertangkai seperti buah pinang. Kurma mengandungi khasiat pemakanan yang tinggi seperti kismis dan aprikot kering. Antaranya kurma kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat galian seperti besi, kalsium, sodium dan potasium.

Kandungan protein didalam kurma lebih kurang 2 %, serat hampir 4 % manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 % glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula didalamnya telah ditukar secara semulajadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap badan adalah serta merta. Gula didalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam badan. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap badan sebagai tenaga.

Kulit kurma yang mengandungi serat, amat baik untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Sementara kandungan vitamin A dan C amat tinggi dan banyak mengandungi potasium yang diperlukan oleh badan untuk sistem saraf. Memang dalam susu, yogurt dan makanan laut juga mengandungi potasium tetapi jumlahnya sedikit.

Pengambilan potasium yang berlebihan tidak mengumpul toksik didalam badan dan tidak memudaratkan. Sebaliknya ia merangsang selera makan bagi yang berpenyakit serta bagus untuk golongan yang mengalami sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, letih, lesu, mengalami tekanan serta menguatkan daya ingatan. Ramai beranggapan hanya kismis yang baik untuk menguatkan ingatan, sebenarnya kurma juga adalah setanding. Mungkin atas alasan pihak-pihak tertentu atau negara pengeluar anggur telah menjalankan kempen makan kismis dan mempopularkan khasiatnya.

Kurma diakui sebagai buah berkhasiat dan sebagaimana Firma Allah s.w.t. dalam surat al_Mukminah ayat 19, “Kemudian Kami tumbuhkan kerananya kebun kurma dan anggur untuk kamu. Disana kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagiannya kamu makan”.

Umat Islam digalakkan berbuka dengan kurma bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang mana maksudnya “Rumah yang tiada kurma seperti rumah yang tidak mempunyai makanan”. Kurma diangkat tinggi oleh Rasulullah kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi.

Dalam bidang perubatan dengan ketiadaan kolestrol, lemak dan gula di dalam kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi. Dalam perubatan homeopathy, biji kurma dikisar halus atau dijadikan serbuk seperti teh, direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagi jenis penyakit. Melalui petua tertentu, kurma dimakan bersama badam dan madu untuk menyembuhkan penyakit. Kurma dikatakan menambah tenaga batin.

Jus buah kurma mungkin baru dinegara ini. Dinegara pengeluar selain dimakan segar, kering atau salai, kurma dibuang biji dan diganti dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi menambahkan keenakannya. Kurma juga dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim.

Kita seharusnya memakan buah kurma bukan hanya dalam bulan puasa sahaja. Kurma baik dijadikan pengganti makanan ringan yang hanya mengandungi karbohidrat, garam, lemak dan gula berlebihan yang boleh membawa pelbagai jenis penyakit.

Ketibaan bulan Ramadan tidak meriah tanpa dapat menikmati buah tamar sebagai juadahberbuka puasa. Seperti menjadi satu kewajipan bagi setiap rumah untuk membelinya tidak kira dari jenis, gred yang paling rendah atau yang paling mahal seperti tamar ajwah (or agwah??) ‘pure’ Madinah yang berharga RM120.00 sekilo pada hari biasa manakala pada bulan ramadan harganya menjadi lebih mahal.

Tamar juga menurut kajian sains merupakan buah yang khasiat dan kandungan gulanya cepat meresap ke dalam tubuh. Kita selalu mendengar kisah2 Rasulullah s.a.w. dengan pohon tamar. Nyata pohon tamar punya sejarah yang cukup unik dan masih ramai tidak mengetahuinya.

Syukur dengan berkat mengunjungi Makkah dan Madinah untuk mengerjakan umrah semasa pengambaran Drama Cinta Madinah yang bakal disiarkan ceritanya pada saluran RTM bulan ini, saya dan semua krew dan artis memperolehi satu lagi cerita istimewa asal-usul kejadian pokok tamar dari Tuan Haji Isa Darus atau Pak Long (Kisah Pak Long Isa pernah tersiar dalam Anis julai lalu).

Menurut cerita Pak Long , asal-usul kejadian pokok tamar adalah dari lebihan tanah yang Allah s.w.t. ciptakan Nabi Adam a.s. Pokok tamar betina tumbuh pada zaman Siti Maryam. Selepas Maryam melahirkan anaknya Nabi Isa a.s., Siti Maryam telah diminta oleh Allah s.w.t untuk menggoncangkan pohon tamar yang terdapat di tempat dia melahirkan anaknya lalu gugurlah buah tamar masak dan di makan oleh Siti Maryam.

Itulah sejarah yang pertama tamar menjadi ubat berkhasiat kepada manusia. Siti Maryam dapat mengalas perut untuk mengumpul tenaga selepas selamat bersalin hanya dengan makan tamar, tanpa tumbuhan herba yang lain. Ditakdirkan Allah s.w.t. dengan kelahiran Nabi Isa a.s. itu juga, Allah s.w.t. telah tumbuhkan pokok tamar jantan di sebelah pokok tamar betina. Dan untuk tujuan mendapat hasil buah tamar yang elok ia juga harus dilakukan menerusi kaedah ‘kahwin bunga’ (melakukan proses pendebungaan betina dengan debu bunga jantan).

Untuk mengenali perbezaan di antara tamar jantan dengan tamar betina, tamar jantan lebih tinggi pohonnya, berdaun keras menjulang ke langit.Pokok tamar betina rendah sedikit dan daunnya dmelintuk ke bawah. Pada bulan februari pohon tamar jantan berbunga setahun sekali sama dengan tamar betina . Bezanya bunga jantan ia mengeluarkan debu-debu halus. Pada bulan ini ketika tamar betinamengeluarkan bunga, petugas (terdiri dari mereka yang berbangsa Arab) akan memanjat pokok tamar betina dan dijalankan proses kahwin bunga, ditepuk-tepuk,disapu dua tiga ranting bunga jantan kepada setandan bunga betina yang terkembang dari tandannya.

Ternyata untuk menghasilkan buah tamar yang elok berkualiti, ia mesti ‘disenyawakan’ oleh tangan manusia, tidak boleh melalui binatang atau diterbangkan oleh angin. Pokok tamar tidak akan berbuah dengan sempurna jika tidak dicantum oleh tangan manusia. Buah tamar tidak akan masak jika suhu kurang dari 55 darjah Celcius.

Bulan Julai adalah musim tamar masak ranum manakala bulan ogos adalah musim menuai. Menurut Pak Long Haji Isa, bagi sebuah kebun memadai ada beberapa batang sahaja pokok tamar jantan berbanding dengan ratusan pokok tamar betina, kerana debunga pada satu dahan pohon tamar jantan boleh digunakan untuk proses pendebungaan dengan ratusan tandan pada pokok tamar betina. Debu yang perlu digunakan pada setiap pokok terlalu sedikit. Bunga jantan ini juga boleh disimpan di tempat yang kering untuk kegunaan berulang-ulang kali selagi debunganya masih ada.

“Allah s.w.t. jadikan buah tamar cukup istimewa. Cuba perhatikan sepanjang ia berada di atas pokok tidak ada seekor binatang atau burung yang mematuk atau merosakkannya. Ini kerana buah tidak berbau. Allah s.w.t pelihara dan memuliakannya. Ia mesti disenyawakan oleh tangan manusia. Di Madinah hanya bangsa Arab sahaja yang sanggup panjat dan turun naik ke atas pokok tamar untuk lakukan kerja pencantuman ini. Bangsa lain tak mampu, tenaga tak sekuat bangsa ni.” Jelas Pak Long.

Pokok Tamar ‘ayah saudara’ kita….Mula-mula kami juga bingung kenapa keunikan ini berlaku pada buah yang istimewa ini, lalu Mak Long Normah Morad, isteri Hj Isa Darus beri kami sentuh debu jantan, “Gosok pada tangan dan cium,” katanya. “Masya-Allah bau air mani,” kata kami tergamam.

“Ya, memang bau air mani, bau ini bukan semua makhluk suka. Pokok tamar kalau mahukan buahnya elok, ia mesti disenyawakaan oleh tangan manusia, sebab pokok ini Allah s.w.t. jadikan dari lebihan tanah kejadian Nabi Adam a.s.”

“Ringkasnya, dia umpama pak menakan(ayah saudara) kita. Sebab itu kita tak boleh pandang remeh padanya. Rasulullah s.a.w. dan Nabi-Nabi lain sangat sayang padanya. Sebab itu dikatakan sebaik-baik buah yang serasi dengan badan kita adalah buah tamar kerana ia sebahagian dari kita. Jadi setiap kali menjamah tamar ingat-ingatlah asal kejadiannya. Buah ini tidak berbau kerana Allah s.w.t. nak pelihara kesuciannya di samping mudah untuk kita menguruskannya
dengan kelebihan cuaca yang panas kering. Penjual tak risau lalat atau semut kerana bumi barakah ini.”Ujar Pak Long dengan senyum lebar.



sumber : jqafsksulaiman.blogspot

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Kelebihan Kurma Yang Perlu Kita Tahu

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


Kurma ialah sejenis buah yang mempunyai banyak kelebihan.Dengan memakan sebiji kurma seseorang akan mendapatkan kecergasan segera, lebih-lebih lagi pada bulan puasa umat Islam disunatkan berbuka puasa dengan buah kurma atau makanan yang manis. Kurma mempunyai banyak kelebihannya jika dilihat daripada beberapa sudut :

1. KESIHATAN

A. Mencegah Penyakit Kronik Seperti Penyakit Jantung & Kencing Manis

Berdasarkan kajian Prof. Madya Asiah Zain, Pensyarah Sains Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi, Universti Putra Malaysia (UPM) menyatakan "Dari segi perubatan, amalan memakan kurma setiap hari boleh mengurangkan rsiko seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis kerana mengandungi zat galian seperti potasium, kalsium dan zat besi yang boleh menyihatkan sel darah merah". (BERITA HARIAN, SELASA, 20 FEBRUARI, 2001)

B. Merangsang Dan Memudahkan Kehamilan.

Prof. Madya Asiah juga berkata buah kurma mampu memanaskan badan dan merangsang keshatan wanita hamil dan anak yang dikandung, memudahkan wanita bersalin dan memberi tenaga.

C. Membunuh Kuman Dalam Badan .

Saidina Ali r.a. meriwayatkan "Barangsiapa yang memakan 7 butir tamar setiap hari, ia akan membunuh semua kuman di dalam badannya".

2. KECERDASAN DAN KECERGASAN

A. Kecerdasan Minda Dan Membantu Proses Tumbesaran .

Menurut Prof. Madya Asiah lagi, kanak-kanak digalakkan memakan lebih banyak buah kurma kerana ia memberi khasiat dari segi proses pembesaran, sekaligus membentuk minda kanak-kanak yang sihat.

B. Tenaga Segera

Maksud Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Maryam: Ayat 25-26:

Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu".

Kurma mampu membekal tenaga dengan pantas ke dalam tubuh mereka yang memakannya. Maka dengan itu Allah s.w.t. menyuruh Saidatina Maryam memakan buah kurma agar beliau mendapat bekalan tenaga untuk melahirkan Nabi Isa a.s., kerana kehilangan tenaga dan darah yang banyak.

3. KEPERIBADIAN

Membentuk Sifat Penyabar, Bersopan Santun Dan Cerdas Pemikiran.

Maksud Hadith Rasulullah s.a.w. :

"Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya".

"Melentur buluh biar dari rebungnya". Islam mengajar kita mendidik anak sejak dari dalam kandungan ibu agar anak yang bakal dilahirkan itu dibentuk mengikut rohaniah yang suci serta memiliki tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas. Buah kurma merupakan makanan yang mampu membentuk insan yang berperibadi luhur. Seorang pelatih dari Universiti Sains Malaysia (USM) menulis tentang hadith ini dalam majalah Mingguan Wanita.

4. KEBERKATAN

A. Mengambil Keberkatan Sewaktu Kelahiran.

Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya;

"Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma".

B. Makanan Yang Paling Sempurna.

Maksud Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan".

Dengan sebab itulah Prof. Madya Asiah menyatakan lagi "Pengambilan buah kurma itu tidaklah sekadar penting pada bulan puasa atau ketika seseorang itu sedang berpuasa, sebaliknya memakan kurma wajar dijadikan amalan harian".



sumber : jqafsksulaiman.blogspot

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Budaya Makan Di Bulan Puasa

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


"Fenomena pembaziran yang berlaku dan berleluasa pada setiap kali menyambut Ramadhan merupakan sesuatu yang amat menyedihkan. Sepatutnya bulan Ramadhan mendidik umat Islam berjimat cermat. Akan tetapi yang berlaku ialah sebaliknya apabila masyarakat Malaysia sanggup berbelanja besar dengan beraneka juadah makanan ketika tibanya waktu untuk berbuka puasa.

Sesuatu yang amat menghairankan juga apabila melihat sesetengah orang yang ketika berpuasa kelihatan amat lesu dan tidak bermaya, namun apabila tiba sahaja waktu petang untuk membeli juadah, badan yang lesu tadi sudah menjadi cergas dan kuat. Lantas, pelbagai juadah dibeli sehingga melebihi keperluan yang sepatutnya. Mereka membeli juadah bukan lagi mengikut keperluan, tetapi mengikut nafsu!. Mereka seolah-olahnya ingin meng'qada' sarapan pagi, makan tengahari, dan makan petang yang ditinggalkan ketika berpuasa, lalu berlakulah pembaziran yang banyak. Terdapat dalam kalangan masyarakat Islam yang menjadikan waktu berbuka tidak ubah seperti suasana ‘pesta makan’. Masyarakat seolah-olah berusaha untuk mengubah bulan puasa kepada 'bulan makan'! Sikap yang lebih pentingkan pesta menjamu selera pada bulan ini menyebabkan kesucian Ramadan sebagai bulan ibadat itu tidak dapat dihayati dengan sempurna.

Sebenarnya ajaran Islam tidak pernah melarang umatnya untuk membeli makanan. Cuma ajaran Islam mengajar kita supaya berbelanja secara bersederhana setiap masa, termasuk sewaktu berbuka puasa. Kita sebenarnya bukan 'hidup untuk makan', tetapi 'makan untuk hidup'. Apabila konsep 'hidup untuk makan' dijadikan pegangan, keadaan ini menyebabkan berlakunya kelalaian hingga melampaui batas berbelanja. Tidak cukup dengan juadah yang dimasak di rumah, dibeli lagi makanan di bazar dan pasar Ramadan secara yang berlebihan.

Sesuatu yang perlu disedari bahawa tabiat pembaziran yang berlaku dalam bulan Ramadhan menyebabkan puasa yang dilakukan menjadi sia-sia kerana tidak mencapai ketakwaan sebagaimana yang diharapkan. Masyarakat Islam di Malaysia perlu sedar bahawa puasa adalah ibadat yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak hingga mencapai tahap takwa kepada Allah. Antara ciri insan bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan. Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menghindari amalan menjadikan Ramadan bulan untuk berpesta makan dan membeli-belah secara berlebihan.

Pembaziran merupakan satu sifat yang dilarang keras di dalam Islam. Justeru, Allah mengumpamakan orang yang membazir itu ibarat saudara kepada syaitan. Firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.”
(Surah al-Isra', ayat 27).

Sayyid Qutb di dalam tafsirnya 'Fi Zilal al-Quran' menjelaskan bahawa Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Oleh itu, berbelanja secara berlebihan ketika membeli makanan juga merupakan suatu tindakan yang tidak wajar dan membazir. Oleh yang demikian, apakah kita sanggup menjadi ‘saudara’ kepada syaitan dengan melakukan pembaziran di bulan Ramadhan yang mulia ini?

Sebagai Renungan..
Kita Makan Sampai Payah Nak Fikir apa yang nak dimakan..
Tetapi bagi mereka dari golongan yang susah..Mereka makan apa yang ada sahaja untuk hidup..
"Makan untuk hidup"...."Bukan hidup untuk makan"..


sumber : jqafsksulaiman.blogspot

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print
Related Posts with Thumbnails

Sekapur Sirih


Salam...Selamat Datang Ke Blog Sagasama ...Ini Merupakan Sambungan Daripada Blog Yang Lama ( blogsagasama.blogspot.com ) Kerana Blog Yang Lama Sudah Terdelete Secara Tidak Sengaja...Semoga Sahabat Sekelian Mendapat Manfaat Dari Blog Ini...

Email dan YM Admin : sagasue@yahoo.com

ADMIN : TIDAK ON LINE





free counter