Kategori

Isi Kandungan

Followers

Promosi Blog Anda

Daftarkan Blog Anda Disini...Percuma

Persediaan Untuk Hamil

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Thursday, October 8, 2009

# Sihat — Suami isteri yang merancang perlu mempunyai badan sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang. Keperluan ini lebih tinggi pada wanita kerana anda akan menjadi ‘rumah’ kepada bayi selama sembilan bulan. Anda bertanggungjawab membekalkan khasiat makanan kepada bayi. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan.

# Ambil makanan tambahan — Ramai wanita tidak tahu bahawa mereka perlu mengambil asid folik sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hamil. Asid folik penting kerana ia boleh mengurangkan risiko ketidaknormalan atau kecacatan pada bayi. Pengambilan asid folik selepas disahkan hamil dianggap agak terlewat kerana ketika ini, bayi sudah pun terbentuk dalam rahim anda.

Selain itu, wanita disaran mengambil pil zat besi yang boleh menambah darah. Lebih baik jika anda berbincang dengan doktor mengenai pengambilan makanan tambahan sebelum dan ketika hamil.

# Bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat — Ramai wanita tidak menganggapnya sebagai bukan perkara penting walaupun tahu senaman boleh meningkatkan kesihatan. Kegemukan juga boleh menyebabkan wanita sukar mengandung dan ramai yang dinasihatkan untuk mengurangkan berat badan terlebih dulu.

Kegemukan boleh menyebabkan perubahan hormon dan fungsi ovari (organ yang mengeluarkan telur) terjejas; akibatnya wanita lebih sukar untuk hamil dan berisiko mengalami keguguran atau bayi dilahirkan tidak cukup bulan.

Sepanjang kehamilan, wanita gemuk berisiko untuk mengalami keguguran, kencing manis dan tekanan darah tinggi yang menyebabkan anda mungkin terpaksa menjalani pembedahan ketika bersalin kelak. Namun apa yang lebih kerap terjadi ialah bayi dilahirkan tidak cukup bulan sama ada secara normal atau pembedahan.

# Jalani pemeriksaan kesihatan — Ramai wanita hanya menyedari mereka mengalami masalah fibroid atau barah pangkal rahim ketika mengandung. Ini akan menimbulkan banyak konflik kerana rawatan kanser, khususnya berbahaya untuk kandungan. Lebih baik jika masalah kesihatan tidak kiralah kencing manis, tekanan darah tinggi atau rendah, sakit jantung atau penyakit lain dikesan sebelum hamil.

# Ujian imbasan bunyi — Untuk payudara (bagi wanita berumur 40 tahun ke bawah) atau ujian sinar-x dada.

# Lumuran pap — Bagi mengesan kanser pangkal rahim. Jika disyaki ada sel kanser, anda perlu menangguhkan rancangan untuk mendapat anak.

# Ujian darah — Ini adalah untuk mengesan talassemia iaitu penyakit keturunan. Jika wanita menunjukkan beliau adalah pembawa gen talassemia (juga dipanggil talassemia minor), suami juga perlu menjalani ujian darah. Seandainya hanya isteri saja menjadi pembawa gen talassemia, ia tidak membimbangkan kerana anak hanya akan menjadi pembawa juga.

Bagaimanapun, jika suami turut mengalami talassemia, anak bakal dilahirkan mempunyai kemungkinan 25 peratus mendapat penyakit talassemia major. Dalam keadaan ini, bayi dalam kandungan akan diperiksa ketika masuk bulan kedua.

# Suntikan rubela — Wanita yang belum mendapat suntikan vaksin rubela dinasihatkan untuk berbuat demikian sekurang-kurangnya empat bulan sebelum berkahwin, terutama memang merancang mendapat anak secepat mungkin. Jika tidak, ambillah langkah pencegahan supaya anda tidak mengandung sekurang-kurangnya tiga bulan selepas suntikan vaksin rubela.

Jangkitan virus rubela ketika mengandung boleh menyebabkan keguguran, kelahiran tidak cukup bulan, bayi meninggal ketika dilahirkan atau bayi anda mengalami kecacatan. Risiko ini lebih tinggi jika jangkitan berlaku pada awal kehamilan dan kerosakan akibat aktiviti virus akan bertambah dengan perkembangan janin.

# Ujian darah untuk hepatitis B — Virus hepatitis B menjangkit melalui darah dan cecair badan. Ini bermakna virus juga boleh diwariskan kepada anak dalam kandungan melalui kelahiran (normal atau pembedahan). Bayi mewarisi virus hepatitis B biasanya akan mengalami jangkitan kronik dan mempunyai peluang 25 peratus mendapat kanser hati pada usia muda.

# Faktor rhesus (kumpulan darah, juga dipanggil faktor Rh) — Kalau anda perhatikan, apabila ujian darah dilakukan, doktor akan mencatat sama ada darah anda (sama ada kumpulan A, B, AB atau O) dengan Rh positif atau Rh negatif. Jika tidak dicatat apa-apa, bermakna darah anda adalah Rh positif.

Rhesus adalah satu kumpulan antigen (bahan dianggap asing oleh badan) yang mungkin atau tidak hadir pada permukaan sel darah merah. Ia menjadi asas bagi sistem kumpulan darah. Kebanyakan orang tidak mengira jenis darah mereka mempunyai rhesus positif. Individu yang tidak mempunyai faktor ini dipanggil rhesus negatif atau Rh negatif.

Menurut Dr Ho, Rh negatif dianggap sebagai keadaan tidak normal dan ia jarang berlaku. Ketidakserasian antara darah Rh positif dan Rh negatif boleh menyebabkan penyakit berkaitan darah pada bayi. Bagi wanita yang mempunyai Rh negatif, suami akan dipanggil untuk menjalani ujian. Jika suami juga mempunyai Rh negatif, bermakna anda boleh menarik nafas lega kerana darah anda ‘serasi’ dengan darah suami.

Pada keadaan biasa faktor ini tidak memberi kesan kepada kesihatan kecuali ketika anda mengandung. Apa dibimbangkan ialah jika isteri mempunyai Rh negatif dan suami pula Rh positif. Oleh kerana bayi adalah gabungan daripada bahan baka ayah dan ibu, maka badan ibu akan menghasilkan antibodi untuk ‘menolak’ bayi yang dianggap sebagai bahan asing. Ini menyebabkan wanita boleh mengalami pendarahan sama ada sebelum atau selepas melahirkan anak.

Jika anda mengalami pendarahan sebelum atau selepas melahirkan anak, doktor akan memberikan suntikan RhoGAM untuk mengelakkan komplikasi. Ini bermakna doktor akan memberikan suntikan setiap kali anda mengalami pendarahan sepanjang sembilan bulan kehamilan. Suntikan ini juga bertujuan untuk mengelakkan komplikasi jika anda mengandung lagi.

# Ujian untuk penyakit kelamin — Ia penting untuk mengelakkan penyakit kelamin ini daripada menjangkiti bayi yang bakal lahir.

Bagi pasangan berumur 35 tahun ke atas dan pertama kali mahu mendapatkan cahaya mata perlu sedar bahawa peluang untuk hamil lebih rendah berbanding wanita muda serta berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi. Kesuburan berkurang dengan peningkatan umur disebabkan beberapa perkara iaitu jumlah telur berkualiti berkurang, penurunan tahap kesihatan (pada lelaki dan wanita), jumlah sperma berkurang dan hubungan seks tidak sekerap pasangan muda.

Adakah kehamilan selepas umur 35 tahun itu selamat? Ya, tetapi ada risiko komplikasi. Malah peluang untuk melahirkan anak cacat seperti Sindrom Down juga meningkat dengan pertambahan umur. Dianggarkan insiden bayi Sindrom Down di kalangan ibu muda (berumur 20-an) ialah satu kes bagi 1,400 kelahiran yang bertambah kepada satu kes bagi 100 kelahiran apabila umur ibu memasuki 40 tahun.

Malah risiko keguguran juga agak tinggi iaitu daripada 12 hingga 15 peratus di kalangan ibu muda kepada 25 peratus jika ibu berumur 40 tahun. Biasanya masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis bermula apabila seseorang memasuki pertengahan 30-an atau awal 40-an. Jika anda ada masalah ini, pastikan penyakit anda terkawal sebelum mengandung.

Selain itu melahirkan anak secara pembedahan juga biasa berlaku di kalangan wanita yang hamil kali pertama selepas berumur 35 tahun, namun tidak kira berapa pun usia anda, secara umumnya wanita disaran mengambil beberapa jenis vaksin sebagai pelindung iaitu:

# Vaksin untuk demam campak, terutama bagi individu yang tidak pernah mengalami jangkitan ini ketika kecil.

# Vaksin hepatitis B

# Vaksin untuk kanser pangkal rahim dan kutil kemaluan

Menurut Dr Ho, persediaan untuk hamil tidak terletak pada wanita saja bahkan lelaki juga perlu bersedia sekurang-kurangnya tiga bulan dan antara yang harus dilakukan ialah mengurangkan atau berhenti merokok dan pengambilan alkohol kerana ia boleh menjejaskan penghasilan dan kualiti sperma.

“Lelaki juga dinasihatkan untuk mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang bagi membolehkan badan menghasilkan sperma yang sihat. Jangan letakkan semua persediaan kepada wanita saja kerana kerjasama berdua diperlukan untuk mendapat anak. Bagi lelaki mempunyai pasangan lain sebelum ini, pergilah jalani ujian penyakit kelamin.

“Meskipun berasa sihat tetapi ujian ini adalah satu kepastian suami tidak menyebarkan penyakit kepada isteri dan anak yang bakal dilahirkan. Kerjasama anda untuk menimang cahaya mata secara tidak langsung boleh mengeratkan hubungan suami isteri dan menjadikan kedatangan orang baru sebagai anugerah sangat berharga,” katanya

Print

0 comments

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Sekapur Sirih


Salam...Selamat Datang Ke Blog Sagasama ...Ini Merupakan Sambungan Daripada Blog Yang Lama ( blogsagasama.blogspot.com ) Kerana Blog Yang Lama Sudah Terdelete Secara Tidak Sengaja...Semoga Sahabat Sekelian Mendapat Manfaat Dari Blog Ini...

Email dan YM Admin : sagasue@yahoo.com

ADMIN : TIDAK ON LINE





free counter