Kategori

Isi Kandungan

Followers

Promosi Blog Anda

Daftarkan Blog Anda Disini...Percuma

Tidaj Jatuh Maruah Akui Kesalahan Sendiri

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Friday, September 15, 2000

ASAS kebahagiaan rumah tangga bermula ketika proses memilih pasangan. Islam menganjurkan agar memilih pasangan salih dan mempunyai peribadi yang mulia agar pembentukan rumah tangga bahagia dapat dinikmati sehingga ke akhir hayat.

Sikap memilih pasangan berdasarkan kepada kecantikan, harta, keturunan dan pangkat, tanpa melihat kepada agama dan akhlaknya adalah punca kegagalan hidup berkeluarga.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan apabila engkau melihatnya, mematuhi perintah engkau, mematuhi janji dan menjaga maruah dan harta ketika ketiadaan engkau.” (Hadis riwayat Nasai).

Malang sekali, muda mudi sekarang lebih menurut kata hati dan nafsu dalam soal memilih pasangan hidup. Mereka hanya menyedari pasangan yang dipilih itu tidak serasi dan banyak menimbulkan masalah selepas hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.

Sesudah mendirikan rumah tangga, tiada pilihan lagi bagi suami atau isteri, melainkan meneruskan kehidupan berkeluarga, biarpun disedari tersalah membuat pilihan pasangan.

Kesilapan dan kekurangan boleh diperbaiki jika suami bijak mengendalikan masalah yang timbul. Suami perlu meletakkan perjalanan hidup berumah tangga pada landasan yang ditetapkan agama. Justeru, dalam hal ini amat penting suami mempunyai pengetahuan agama yang mendalam.

Sikap suami sengaja menyalahkan isteri jika kehidupan keluarga tidak bahagia perlu diperbetulkan. Serentak dengan itu suami mulalah pula hendak berpoligami sebagai jalan mencari kebahagiaan dengan isteri lain.

Suami mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dalam memastikan kerukunan rumah tangga berterusan. Pengorbanan dan sikap tolak ansur suami tidak seharusnya ke tahap dipandang dayus sehingga sanggup mengikut telunjuk isteri. Apa yang salah perlu diperbetulkan dengan berhemah.

Dalam banyak situasi, keegoan suami sering menyebabkan isteri memendam rasa tidak merasakan dirinya juga berhak bersuara. Teguran dan suara isteri tidak diendahkan oleh suami yang beranggapan sebagai ketua keluarga berhak melakukan apa saja yang diingini.

Sikap terlalu banyak bersabar dan memendam akhirnya menimbulkan konflik dalam jiwa isteri. Keadaan ini boleh menyebabkan isteri memberontak dan membawa kepada keadaan tidak boleh dikawal lagi.

Sebab itu ada isteri yang menduakan suami. Mereka menjalin hubungan dengan lelaki lain yang dapat mendengar rintihan hati atau sesuatu yang tidak dipeduli suami. Lebih parah, hubungan itu melarat kepada zina.

Isteri sebenarnya mempunyai hak untuk bersuara memberikan pendapat atau meminta apa-apa yang layak baginya sebagai seorang isteri seperti ditetapkan syarak. Suami tidak boleh bersifat autokratik atau ingin menggunakan kuasa sepenuhnya.

Memandangkan sekarang ini banyak isteri mempunyai kerjaya yang baik, bahkan lebih baik berbanding suami, suami yang tidak bertanggungjawab menyerahkan tugas menyara keluarga ke bahu isteri.

Malah, ada suami bertindak memeras wang isteri untuk kegunaan mendatangkan mudarat seperti berjudi, menagih dadah dan melanggan pelacur. Jika isteri enggan menyerahkan wang, padah buruk akan menimpa diri. Suami seperti ini lebih layak dipanggil perompak.

Tidak jatuh maruah suami jika mengaku kesalahan yang dilakukan. Itulah jalan sebaik-baiknya untuk mengekalkan kebahagiaan hidup berkeluarga. Mengaku kesalahan bertujuan untuk diambil tindakan memperbetulkan.

Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya jika dilakukan dengan niat ingin mencari kebahagiaan. Allah sentiasa bersama-sama dengan hamba-Nya yang sabar dan mengharapkan kebahagiaan hidup.

Langkah pertama ialah menasihati isteri agar mengubah sikap yang mendatangkan masalah itu. Nasihat itu harus diberi dengan tutur kata yang lembut dan berkesan.

Ini penting bagi menjamin isteri tidak berasakan seperti dihukum terhadap apa yang dilakukan. Hati perempuan mudah tersentuh dan tidak dapat menerima teguran yang dilakukan dengan suara kuat.

Elok ketika memberi nasihat tidak menyebut berulang-ulang kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya, berilah peluang untuk berfikir dan menyedari kesalahan yang dilakukan.

Sebaliknya, jika sudah diberi nasihat, isteri masih tidak berubah, bahkan mungkin semakin buruk tindakannya, maka wajarlah tindakan lebih tegas dilakukan.

Antara perkara dilakukan secara berperingkat-peringkat ialah meninggalkan tempat tidur, kemudian jika masih tidak berhasil, maka pukul dengan pukulan yang tidak mencederakan.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan isteri-isteri yang kamu curiga atau bimbing berlaku nusyuznya (derhaka), maka hendaklah kamu (suami) menasihati mereka, dan jika mereka berdegil, tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika masih berdegil juga pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak mencederakan) kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Surah an-Nisa, ayat 34).

Kebenaran memukul isteri bukan bermakna Islam membenarkan kekerasan dilakukan dalam rumah tangga. Sebaliknya, kebenaran itu berdasarkan kepada niat untuk memberi satu pengajaran atau menakutkan isteri supaya tidak lagi berani melakukan kesalahan yang sebelum ini dinasihati oleh suami agar tidak dilakukan.

Untuk mencapai matlamat ini, maka ketika suami ingin memukul isteri, mestilah suami dalam keadaan tenang dan waras. Ini bagi mengelak daripada niat baik ingin mencari pengajaran bertukar menjadi satu bencana apabila pukulan itu dilakukan berlebih-lebihan sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada isteri.

Sesungguhnya Islam amat mementingkan matlamat mengekalkan hubungan suami isteri, maka itu perceraian bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Suami dinasihatkan mengelak diri daripada memikirkan soal talak agar tidak mudah mengambil keputusan ke arah itu.

Talak bukan boleh dibuat mudah. Sebab itu ia menjadi perkara terakhir dalam soal rumah tangga. Perkara halal yang mesti dijauhi oleh setiap suami isteri ialah talak.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Print

0 comments

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Sekapur Sirih


Salam...Selamat Datang Ke Blog Sagasama ...Ini Merupakan Sambungan Daripada Blog Yang Lama ( blogsagasama.blogspot.com ) Kerana Blog Yang Lama Sudah Terdelete Secara Tidak Sengaja...Semoga Sahabat Sekelian Mendapat Manfaat Dari Blog Ini...

Email dan YM Admin : sagasue@yahoo.com

ADMIN : TIDAK ON LINE





free counter