Kategori

Isi Kandungan

Followers

Promosi Blog Anda

Daftarkan Blog Anda Disini...Percuma

Takwa Pelindung Daripada Sebarang Perkara Buruk

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Tuesday, March 2, 2010 0 comments


SABAN minggu kita diingatkan khatib dalam khutbahnya supaya meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Dalam peringatan itu khatib berkata, takwa boleh dicapai dengan melaksanakan semua perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.


Persoalannya sekarang, adakah kita benar-benar faham apa itu takwa atau disebabkan sering kali diingatkan lantas membuatkan kita menganggap takwa sebagai perkataan yang tidak membawa sebarang erti mendalam serta tidak berkaitan dengan iman.

Kepentingan takwa sebenarnya jelas apabila ia menjadi antara rukun khutbah yang perlu diberi perhatian. Meninggalkan peringatan untuk bertakwa kepada Allah dalam teks khutbah akan menyebabkan ia tidak sempurna.

Sebenarnya bagi mencapai takwa yang hakiki, bukan sekadar menghendaki kita melaksanakan perintah Allah serta meninggalkan larangan-Nya. Takwa memerlukan kita melakukan lebih daripada itu kerana ia membabitkan amalan roh dan jiwa.

Takwa membawa maksud berwaspada, berjaga-jaga dan takut kepadaNya dengan menjauhi segala laranganNya. Asal kepada perkataan ‘ittaqa’ itu juga membawa maksud menjadikannya pelindung daripada sesuatu perkara.

Jelaslah takwa bukan saja membawa maksud takut kepada Allah, malah sebagai pelindung dan pemelihara daripada sebarang perkara buruk, lebih-lebih lagi perkara yang boleh membawa kita tergolong di kalangan hambaNya yang rugi di akhirat nanti.

Ketinggian tahap takwa apabila ia dijadikan kayu ukur kepada pemilihan hamba Allah yang dipandang mulia di sisi-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:

”Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Sebagai satu cara untuk mencapai takwa bagi kita yang mungkin boleh dikategorikan dalam golongan bawahan jika dimuhasabah dari segi tahap keimanan, beberapa perkara yang dikaitkan dengan takwa menerusi ayat al-Quran perlu diteliti antaranya:

* Berbuat baik sesama insan serta bermaaf-maafan

Ayat ini berkaitan dengan hubungan suami dan isteri yang bercerai.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada takwa. Dan janganlah kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa juga yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 237)

* Sentiasa berlaku adil

Allah menjelaskannya menerusi firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Ma’idah, ayat 8)

* Melakukan amalan dengan keikhlasan

Allah menjelaskan perkara ini serta mengambil ibadah korban sebagai contoh, dalam firman yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu.” (Surah al-Hajj, ayat 37)

* Melaksanakan perintah Allah dengan penuh kesabaran

Hal ini dijelaskan Allah melalui perintah solat bagi menggambarkan bahawa ibadat yang diperintahkan sememangnya memerlukan kesabaran dalam pelaksanaannya.

Gangguan syaitan dan dorongan nafsu manusia yang mengarah kepada keburukan akan sentiasa menjadi penghalang utama kepada pelaksanaan ibadat dan perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan perintahlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.” (Surah Toha, ayat 132)

* Menjaga hak orang lain dan memenuhi janji

Firman Allah yang bermaksud: “Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 76)

Dapat disimpulkan sifat mahmudah atau terpuji haruslah sentiasa disemai dalam diri setiap individu Muslim bagi mencapai ketakwaan yang sebenar kepada Allah. Berbaik sangka sesama manusia, mudah memberi dan meminta maaf, sabar, adil, ikhlas, memenuhi janji, berkasih sayang, reda adalah amalan hati yang boleh membentuk peribadi terpuji serta prasyarat mencapai martabat golongan bertakwa.

Tanpa takwa yang sebenar dalam diri, segala perintah Allah yang dilaksanakan tidak membawa sebarang faedah dan manfaat kepada diri dan kehidupan dunia serta akhirat. Allah secara jelas menyatakan takwa seharusnya dijadikan pakaian diri setiap Muslim dan ia sebaik-baik pakaian.

Firman Allah bermaksud: “Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami sudah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya.” (Surah al-A’raaf, ayat 26)

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Bersikap Ihsan Bantu Dekatkan Diri Kepada Allah

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


Senyuman bukan saja dapat membahagiakan diri tetapi juga gambarkan keikhlasan hati

SETIAP manusia melihat dunia ini sesuai dengan perbuatan, fikiran dan dorongan hidupnya. Ini bermakna bahawa apabila amal perbuatannya baik, fikirannya bersih dan motivasi hidupnya suci, maka dia akan melihat dunia ini bersih dan indah seperti dunia itu diciptakan. Begitu pula sebaliknya, apabila amal perbuatannya buruk, fikirannya kotor dan motivasinya ternoda, maka dunia ini akan terlihat gelap gelita dan dia melihat segala sesuatu berasa hitam pekat.


Di sinilah letak rahsia keistimewaan ihsan dalam proses pengajaran malaikat Jibril as yang datang kepada baginda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Muslim yang bermaksud: “Daripada Umar ra, katanya: “Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan atasnya tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalnya sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi SAW lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada dua lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua paha Nabi. Kemudian ia berkata: “Wahai Muhammad, khabarkanlah kepadaku daripada hal Islam,” maka Rasulullah menjawab: “Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”. Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal Iman?”, Rasulullah menjawab: “Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan segala kitab-Nya dan Rasul-Nya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan jahatnya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”. Kemudian dia bertanya lagi: “Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal ihsan?” Rasulullah menjawab: “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.

Akhirnya dia berkata meneruskan pertanyaannya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal hari kiamat”. Rasulullah menjawab: “Tidaklah yang ditanya daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya”. “Kalau begitu katanya, maka khabarkanlah kepadaku daripada tanda-tandanya saja.” Rasulullah menjawab: “Tanda-tandanya itu ialah apabila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegak dan meninggikan binaannya.”

Kemudian dia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah berkata: “Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah orang yang bertanya itu?”. Berkata aku: “Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu.” Rasulullah berkata: “Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.”

Dalam Kamus Dewan “Ihsan” dijelaskan dengan mengambil kira makna hadis di atas ketika menjelaskan maknanya dengan “beribadat kepada Allah dengan menyedari bahawa seseorang itu berhadapan dengan Allah Subhanahu Wataala yang sentiasa melihatnya.”

“Ihsan” juga bererti kebaikan, kebajikan, kemurahan hati (lawan bakhil) seperti dalam Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan atau “Ihsan” juga bererti perbuatan (derma dan sebagainya) yang baik, kebaikan, kemurahan hati, kebajikan, kedermawanan seperti dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara.

Dalam al-Quran perkataan al-ihsan asalnya daripada perkataan: ahsana, yuhsinu, ahsin, ihsanan dan setidaknya ada 12 ayatnya yang mengandungi lafaz ihsan/ihsanan yang menunjukkan kepada perbuatan baik dan kebaikan yang lebih daripada yang sepatutnya atau yang sama maksudnya. Ada kira-kira sebanyak 38 ayat lagi menunjuk kepada pujian dan penghargaan tinggi kepada pelakunya dengan lafaz muhsin, muhsinun, muhsinin, muhsinat. Selanjutnya ada pula lafaz lain yang juga berkaitan dengan al-ihsan itu. Semuanya membawa pengertian menurut konteks ayat yang difirmankan oleh Allah Subhanahu Wataala. (al-Mu’jam al-Mufahras li Alfa al-Quran).

Konteks ihsan kepada sesama makhluk sangat luas dalam al-Quran dan ia sangat jelas dalam ayatnya bermaksud:

“Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim, serta orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya”. (Surah al-Baqarah: 83)

Bahkan perbuatan ihsan diperintahkan Allah dengan tegas dalam firman-Nya bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” (Surah al-Nahl: 90)

Satu daripada bukti wujudnya ihsan dalam diri manusia adalah senyum yang selalu melekat pada bibir seseorang kerana senyuman adalah bunga daripada perbuatan, fikiran dan motivasi yang baik. “Senyummu kala bertemu saudaramu bernilai sedekah“, seperti dalam hadis menunjukkan bahawa senyum berakar daripada ihsan kerana sedekah tidak akan diberikan kecuali oleh orang yang bersih hati dan perbuatan.

Senyum yang tulus bukti kebahagian diri yang dihasilkan oleh kandungan ihsan pada diri manusia. Ahmad Amin dalam Faid al-Kathir menulis:

“Orang yang murah dengan senyuman dalam menjalani hidup ini bukan saja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi juga orang yang berkemampuan lebih dalam mengerjakan pelbagai urusan, lebih bertanggungjawab ketika memikul tugas, orang yang paling kuat menghadapi kesulitan dan memecahkan persoalan dan lebih profesional dalam memikul urusan penting yang bermanfaat bagi diri mereka dan masyarakat. Seandainya saya disuruh memilih di antara harta yang banyak atau kedudukan yang tinggi dengan jiwa yang tenteram damai dan selalu tersenyum, pastilah saya memilih yang kedua. Sebabnya ialah, apa ertinya harta yang banyak bila wajah selalu muram? Apa ertinya pangkat dan kedudukan sekiranya jiwa sering cemas?”

Allah menyukai orang yang berbuat ihsan, dan ia disebutkan dalam beberapa ayat al-Quran. Jika kesukaan Allah sudah berada pada diri manusia maka senyum adalah tandanya. Di samping itu, rahmat Allah sangat dekat dengan orang yang sentiasa berbuat ihsan. Allah berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A’raf: 5)

Jika begini adanya dalam al-Quran, tidakkah kita ingin sentiasa dekat dengan rahmat Allah?

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Pertengkaran Penting Dalam Perhubungan?

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


Perbezaan pendapat atau pertikaman lidah adalah perkara biasa dalam sesuatu perhubungan. Malah umum mengetahui bahawa perhubungan tanpa sebarang pertelingkahan biasanya sukar untuk bertahan dan putus di tengah jalan.

Mengapa pertengkaran penting?


Ini kerana, bertengkar dapat memberi kita peluang untuk melihat pilihan sedia ada dalam apa jua situasi. Kita selalunya dikaburi dengan pendapat sendiri sehingga gagal melihat pandangan orang lain terhadap sesuatu perkara.

Seperti contoh, kita percaya bahawa anak-anak tidak patut diberikan wang. Semua duit mereka perlu disimpan dalam bank untuk kegunaan masa depan mereka sendiri. Kedengaran logik bukan?

Bagaimanapun, pasangan anda mungkin berpendapat bahawa dengan memberikan anak wang, mereka akan belajar menilai wang dan menimba pengalaman sendiri betapa sukarnya untuk menyimpan.

Lebih banyak mereka simpan, banyak lagi benda penting yang boleh mereka beli di kemudian hari. Bukankah itu pandangan yang lebih baik?

Jadi, bagaimana sebenarnya boleh pertengkaran dibentuk untuk menghasilkan keputusan yang lebih positif? Hanya ada satu perkara yang boleh dilakukan.

Peraturan utama pertengkaran adalah persediaan

Sediakan peraturan sebelum memulakan apa-apa. Ingatkah anda sewaktu cinta mampu mengatasi segala-galanya? Ketika si dia lewat dua jam untuk temujanji dan anda masih mampu tersenyum apabila dia tiba. Cuba duduk dan bincang dengan pasangan mengenai peraturan-peraturan kecil pada ketika itu.

Bincangkan hal ini - "Dalam sesuatu isu (pertengkaran), bagaimana anda dan pasangan menyelesaikannya?"

Berikut adalah beberapa cadangan yang kedua-dua anda boleh mencapai kata sepakat dalam perbincangan ini.

Bertengkar hanya apabila pertengkaran itu boleh membantu anda berdua menjadi orang yang lebih baik.

Tidak ada sebab untuk bergaduh mengenai siapa yang patut membuang sampah. Seseorang masih perlu melakukannya, jika tidak, rumah anda akan mula berbau. Jika kedua-duanya masih lagi tersangkut dalam pertengkaran yang tiada penghujungnya itu, salah seorang patut mengingatkan pasangan lain bahawa ia memang tidak berbaloi langsung.

Jangan sesekali serang ego

Tidak ada lelaki yang sabar dipanggil pengecut, sama seperti wanita tidak suka dilayani seperti hamba! Perjelaskan kepada pasangan sempadan itu dan pastikan dia faham.

Seperti contoh, wanita tidak suka dimarahi lelaki di khalayak ramai, jadi si lelaki perlu tahu hal ini dan walaupun tidak suka, dia perlu menangani isu tersebut secara peribadi.

Juga, jangan panggil pasangan dengan nama-nama hina atau mengeji.

Hanya seorang bercakap pada satu masa.

Pertengkaran tidak akan menjadi positif apabila ia menjadi 'persembahan duet' oleh anda dan pasangan. Ini apabila kedua-duanya menjerit ke arah satu sama lain pada masa yang sama.

Bagaimana hendak kenal pasti masalah jika tidak ada yang mendengar? Tapi jangan pula kedua-duanya membisu.

Tentukan pemenang dan yang tewas

Pastinya pertengkaran itu menjadi sempurna apabila hasilnya adalah situasi menang-menang. Tetapi, ada kes di mana keputusannya berat sebelah. Contohnya, jika suami ditugaskan mengurus hal-hal kewangan, hampir semua perselisihan faham mengenai wang akan dimenangi suami.

Sediakan peraturan bagaimana untuk menjadi pemenang atau sebaliknya. Seperti contoh, pemenang harus menghormati pihak yang tewas.

Bersetuju mengguna orang ketiga

Hanya apabila pertengkaran sukar diselesaikan dan kedua-dua pihak tidak bersedia untuk berkompromi. Orang ketiga perlu 'ditugaskan' terlebih dahulu seperti kawan baik atau ahli keluarga terdekat.

Orang ketiga akan membantu pasangan itu mencapai kata sepakat. Dia juga mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berdasarkan perbalahan itu dan pasangan berkenaan harus menerimanya walau apa pun.

Bagaimanapun tindakan ini tidak digalakkan kerana boleh menjejaskan kehidupan peribadi pasangan dan orang ketiga terbabit.

Mana-mana pihak boleh meninggalkan pertengkaran pada bila-bila masa (tempoh bertenang).

Adalah normal berlaku tahap kemarahan akan membuak-buak ketika bertengkar terutama apabila menyentuh hal peribadi.

Pasangan perlu bersepakat terlebih dahulu bahawa salah seorang boleh meminta dibiar bersendirian untuk satu tempoh sebagai waktu bertenang.

Perkara ini boleh membantu terutama apabila ketika marah, pertimbangan akan dikaburi emosi dan kita tidak dapat melihat dengan jelas pilihan yang lebih baik.

Ini sebenarnya peraturan yang paling sukar kerana kemarahan memerlukan seluruh kekuatan yang ada hanya untuk mengawalnya.

Berlatih bertengkar

Walaupun kedengaran pelik, tapi apa salahnya. Atur beberapa masa untuk berlatih mengendalikan pertengkaran. Cuba gunakan permohonan tempoh bertenang, atau pihak ketiga atau tidak menyerang ego.

Ia boleh menyentuh apa jua isu, ingat, tujuannya adalah untuk berlatih peraturan-peraturan penting di atas sebelum anda dan pasangan benar-benar bersedia untuk bertengkar.

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Menghidupkan Semula Hubungan Pudar

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments


Setelah bertahun-tahun hidup bersama sebagai suami isteri dan sudah terlalu selesa dengan hubungan tersebut membuatkan tanpa disedari masing-masing mengambil mudah pada ikatan yang ada.


Keadaan itu lama-kelamaan mungkin boleh menjadikan hubungan semakin hambar dan hilang 'magisnya'. Lebih mengecewakan jika keceriaan rumah `tangga yang terhakis membawa kepada kesan lebih buruk seperti perceraian bermula daripada kesilapan kecil.

Berikut beberapa panduan yang mungkin boleh diambil perhatian bagi mengembalikan semula kemesraan dan keintiman dalam rumah tangga yang semakin pudar.

1. Memaafkan pasangan walaupun anda mungkin tidak boleh melupakan apa yang dia lakukan.

Kadang kala kegembiraan lebih penting daripada mencari kebenaran. Ia akan menjadi lebih mudah selagi ikatan perkahwinan itu masih dirasai dan dihormati. Begitupun anda masih perlu berwaspada untuk mengelak perkara sama berulang lagi pada masa depan.

2. Meminta maaf (sekerap yang boleh) dan dilakukan dengan ikhlas. Ingat jika pasangan anda marah atau terluka dengan perbuatan tertentu anda, perbuatan sama juga boleh melukakan hati anda jika dia yang melakukannya.

3. Cuba selami dan merasai 'kesakitan' yang dialami pasangan. Sekurang-kurangnya sehari sekali anda cuba berfikir sejenak bagaimana agaknya perasaan pasangan anda jika anda melakukan sesuatu yang tidak disukainya.

4. Membina hubungan. Perkara-perkara kecil seperti minum teh bersama, menyuruh menukar cadar, bertanya apa hidangan makan malam dan sebagainya, sebenarnya membantu menghidupkan lagi sesuatu hubungan.

5. Bersangka baik terhadap pasangan. Sebagai contoh jika dia mengeluh anggaplah dia penat, bukan bosan manakala jenakanya yang tidak lucu adalah usahanya untuk berlawak bukan untuk merendahkan anda. Cara ini bukan saja dapat menghindari konflik tetapi menjadikan hubungan lebih menarik.

6. Curahkan pujian-pujian. Ini boleh membawa aura positif dalam hubungan anda dan boleh menjadi 'magis' yang diperlukan untuk menghidupkan lagi hubungan.

7. Bangkitkan perasaan positif dengan mengingat perkara-perkara yang baik pada masa lalu. Selak semula gambar-gambar lama semasa bercuti dan berbuallah mengenai bagaimana anda berdua bertemu.

8. Bina semula kepercayaan dalam hubungan. Antaranya, bersama-sama melakukan perkara-perkara yang anda berdua suka. Rancang percutian atau berkebun atau mengecat semula bilik bersama-sama.

9. Buka ruang untuk berbincang. Apabila suasana rumah tangga semakin baik dan tidak tegang, cuba berbincang mengenai apa yang anda mahu lihat dalam perhubungan anda dan apa yang masing-masing boleh memainkan peranan.

Cara paling baik mengambil angkah demi langkah untuk membaiki hubungan dalam hidup anda.

Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Uji Minda

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 2 comments



Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print

Uji Minda

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus 0 comments





Baca Lagi..dan Jangan Lupa Share Kat Member..
Print
Related Posts with Thumbnails

Sekapur Sirih


Salam...Selamat Datang Ke Blog Sagasama ...Ini Merupakan Sambungan Daripada Blog Yang Lama ( blogsagasama.blogspot.com ) Kerana Blog Yang Lama Sudah Terdelete Secara Tidak Sengaja...Semoga Sahabat Sekelian Mendapat Manfaat Dari Blog Ini...

Email dan YM Admin : sagasue@yahoo.com

ADMIN : TIDAK ON LINE





free counter