Kategori

Isi Kandungan

Followers

Promosi Blog Anda

Daftarkan Blog Anda Disini...Percuma

Usah Beza Kasih

Posted by Blog Rasmi YM Syed Abi Ghufran Al-Idrus Thursday, September 3, 2009

BUKAN mudah berlaku adil pada semua anak. Sama ada disedari atau tidak, ada ibu bapa membeza-bezakan kasih sayang antara anak mereka.

Kasih sayang dan perhatian ibu bapa mungkin lebih ditumpahkan kepada anak yang lebih cerdik, cantik atau rajin.

Islam melarang ibu bapa membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak, sebaliknya bertanggungjawab mendidik, mengajar dan memberi sesuatu dengan adil kepada setiap anak.

Panel dakwah dan pendidik, Wan Akashah Wan Ab Hamid, berkata antara kesalahan yang kebanyakan ibu bapa lakukan sejak dulu ialah membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak mereka.

Katanya, larangan membezakan kasih sayang terhadap anak pasti bersebab dan ada hikmahnya. Sebagai manusia biasa, ada kalanya kita tidak dapat melihat kesan tindakan itu pada masa akan datang.

“Anak yang menjadi mangsa perbezaan kasih sayang biasanya berasa kehilangan tempat berpaut dan perlindungan, malah rasa tidak diperlukan lagi dalam sesebuah keluarga. Mereka sentiasa memendam rasa dan sering memikirkan kekurangan diri di samping tertanya-tanya sebab yang membuatkan ibu bapa tidak menyayangi mereka.

“Kesannya, anak yang kurang diberi perhatian dan kasih sayang akan berasa iri hati, dengki, rendah diri, benci dan dendam terhadap adik-beradik lain serta ibu bapa mereka.

“Situasi itu pasti menimbulkan permusuhan antara adik-beradik kerana tiada penyatuan jiwa antara satu sama lain,” katanya.

Anak yang berasa tersisih menjadi sensitif dan mempunyai sifat ingin membebaskan diri jika menghadapi tekanan dalam diri mereka.

“Yang dibimbangkan ialah, anak yang meningkat remaja ini melakukan tindakan tidak diingini atau terjebak dengan gejala sosial. Anak lelaki akan memberontak dengan melakukan aktiviti tidak sihat seperti merokok, menghisap dadah dan keluar malam, manakala anak perempuan akan memendam perasaan sehingga boleh bertindak membunuh diri, benci diri atau lari dari rumah,” katanya.

Berlainan halnya dengan anak yang mendapat kasih sayang ibu bapa. Disebabkan berasa diri lebih disayangi ibu bapa, mereka mungkin bersikap bangga, ego dan suka bermegah diri di depan adik-beradik lain.

“Bagaimanapun, anak yang mendapat perhatian ini tidak terlepas daripada kesan negatif yang sering mempengaruhi kehidupan mereka seperti terlalu manja, suka mengadu dan kurang hormat terhadap adik-beradik lain.

“Mereka juga sering mempamerkan sikap negatif seperti suka tinggi diri, suka berhias dan minat kepada peralatan mewah. Ini adalah kesan tindak tanduk ibu bapa yang suka memberi layanan berat sebelah di antara anak mereka,” katanya.

Kata Wan Akashah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan dan sabar menanggung mereka, dan memberi pakaian kepada mereka, mereka akan menjadi dinding baginya daripada api neraka.”

“Maksud hadis itu jelas menunjukkan Islam melarang ibu bapa membeza-bezakan anak, malah mendapat ganjaran tidak ternilai daripada Allah SWT jika berlaku adil kepada semua anak mereka.

“Mungkin ada ibu bapa tidak sengaja melakukan perkara seperti itu tetapi mereka harus sedar, kehadiran anak adalah aset yang perlu dijaga supaya mendapat pulangan baik apabila mereka tiada lagi di dunia,” katanya.

Beliau berkata, anak perlu dididik secara sama rata dan dengan penuh kasih sayang. Sikap adil ibu bapa dalam memberi kasih sayang kepada anak mereka akan membuahkan hasil yang baik.

Keadilan yang dipaparkan membuka ruang kepada kehidupan sekeluarga yang dipenuhi kasih sayang, hormat-menghormati dan sayang-menyayangi.

“Ada anak berumur belasan tahun datang mengadu kepada saya, ibu bapanya sentiasa membezakan dia dengan kakaknya yang cemerlang dalam setiap peperiksaan, sedangkan pencapainya ala kadar saja.

“Dia berasakan dirinya tercabar, ini kerana bukan setakat membandingkan pencapaian peperiksaan, malah layanan juga dibezakan daripada sudut kasih sayang, kemesraan dan pemberian sempena hari jadi. Biasanya hadiah hari jadi kakaknya sentiasa dapat tepat pada masanya, tetapi hadiah hari jadinya selalu dilewat-lewatkan oleh ibu bapa. Kecewa dengan tindakan itu, dia melakukan perkara tidak baik tanpa pengetahuan ibu bapanya,” katanya.

Kaedah pendidikan yang harus diamalkan ibu bapa untuk anak mereka:

* Ibu bapa hendaklah menasihati anak dengan cara yang baik dan jangan buka rahsia mereka.
* Larang anak membuat sesuatu secara sembunyi-sembunyi kerana perbuatan begini selalunya ada yang buruk.
* Beri galakan kepada anak untuk bersukan atau bersenam untuk menjaga kesihatan badan.
* Nasihati anak supaya usah suka bangga diri.
* Galakkan anak memberi sedekah kepada kawannya yang miskin, tetapi jangan biasakan mereka menerima sesuatu daripada orang lain kerana ia sifat yang dicela.
* Anak diajar supaya berbudi pekerti mulia.
* Jangan galakan anak suka bersumpah kerana tabiat ini adalah hina pada mata masyarakat.
* Larang anak bercakap kotor atau kosong, mengeji dan menghina orang atau mengumpat

Print

0 comments

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Sekapur Sirih


Salam...Selamat Datang Ke Blog Sagasama ...Ini Merupakan Sambungan Daripada Blog Yang Lama ( blogsagasama.blogspot.com ) Kerana Blog Yang Lama Sudah Terdelete Secara Tidak Sengaja...Semoga Sahabat Sekelian Mendapat Manfaat Dari Blog Ini...

Email dan YM Admin : sagasue@yahoo.com

ADMIN : TIDAK ON LINE





free counter